Penganalisis: Manifesto BN Kelantan bertema Islam mampu tarik sokongan

Menurut Dr Kamarul Zaman Yusoff, manifesto itu beri persepsi baru, mengurangkan kebimbangan rakyat negeri ini terhadap BN yang terpalit dengan dakwaan kononnya kurang perjuangkan Islam.

KOTA BHARU: Manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dilihat mampu menjana kesejahteraan anak negeri dan mengukuhkan pandangan usaha ke arah meningkatkan syariat dan syiar Islam sememangnya menjadi pegangan parti itu, menurut penganalisis politik.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata ia memberi jaminan kepada rakyat Kelantan, perkembangan syiar Islam yang dianggap penting di negeri “Serambi Mekah” itu tidak akan dipinggirkan.

“Ia memberi persepsi baru dan mengurangkan kebimbangan sesetengah rakyat negeri ini terhadap BN yang terpalit dengan dakwaan kononnya ia kurang memperjuangkan Islam,” katanya kepada Bernama.

Manifesto bertema ”Bersama Demi Kelantan” itu mengandungi 7 jaminan utama buat seluruh lapisan rakyat Kelantan dalam 60 tawaran.

Tujuh jaminan utama itu dizahirkan melalui janji memartabatkan syariat dan syiar Islam, membangunkan ekonomi mapan, mengutamakan kebajikan rakyat, memperkasa belia, menambah baik infrastruktur, melestarikan alam sekitar, dan membela kaum minoriti.

Mengambil contoh penubuhan Universiti Al-Quran yang dijanjikan dalam manifesto itu, Kamarul Zaman berkata ia bukan satu halangan buat BN jika menang di Kelantan kerana pembinaannya hanya membabitkan aspek pentadbiran biasa sahaja.

“Nak bina universiti tidak memerlukan perubahan kepada undang-undang atau perlembagaan dan ia lebih mudah dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam soal memartabat syariat dan syiar Islam, BN Kelantan turut berazam mewujudkan lebih banyak sekolah tahfiz model Ulul-Albab, memperkasa Yayasan Islam Kelantan, memperkasa sekolah pondok dan sekolah agama selain mentrasformasi peranan masjid sebagai pusat dakwah, perkembangan komuniti dan ekonomi.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar berkata angin perubahan akan terus bertiup di Kelantan seperti yang dijanjikan BN termasuk melalui pelaksanaan lebih rancak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan pembangunan Pelabuhan Tok Bali.

“Ketiga-tiga projek itu akan memberi kesan berganda terhadap ekonomi negeri Kelantan, mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk negeri ini,” katanya.

Menurutnya, janji BN contohnya dalam soal perumahan, pengangkutan dan infrastruktur akan turut membawa manfaat kepada rakyat negeri ini, termasuk dari segi membantu merancakkan aktiviti ekonomi.