Rakyat negara lain ganti China beli hartanah di Forest City

Pembeli hartanah di Forest City pada mulanya terdiri daripada 80% rakyat China, kini merosot kepada 55%.

PETALING JAYA: Pembeli dari Timur Tengah, Indonesia, Singapura dan India menggantikan rakyat China dalam membeli hartanah di Forest City, lapor The Malaysian Reserve (TMR).

Akhbar perniagaan itu berkata, rakyat China yang sebelum ini merupakan sebahagian besar pembeli hartanah mewah berbilion ringgit itu, berkurangan selepas Beijing mengehadkan aliran modal pada 2017.

Projek bernilai AS$100 bilion (RM389 bilion) yang dibina di 4 pulau buatan manusia di Selat Johor itu, dibangunkan pemaju hartanah China, Country Garden.

Dianggarkan Forest City akan mempunyai 700,000 penduduk, selepas projek itu disiapkan.

TMR memetik perunding hartanah, Bruce Lee sebagai berkata, jualan projek itu mula meningkat pada suku pertama tahun ini, selepas mengalami kemerosotan tahun lalu.

Katanya, sebelum Beijing melaksanakan dasar kawalan modal, pembeli dari China terdiri daripada 80%, manakala baki 20% dari negara lain.

“Masih ada pembeli dari China untuk unit Forest City, tetapi peratusan itu merosot kepada kira-kira 55%.

“Baki pembeli terdiri daripada rakyat Singapura dan Indonesia, berjumlah 25%, disusuli Timur Tengah, India dan negara Asean lain sebanyak 10%,” kata Lee kepada TMR.

Pembeli dari negara Asia Timur seperti Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan menyumbang 5% kepada jualan, manakala baki 5% lagi dari Eropah.

Ada yang bimbang projek itu tidak laris, selepas China mengawal aliran keluar modal pada awal 2017 bagi mengumpul rizab asing yang semakin berkurangan dan membendung kemerosotan yuan.

Langkah itu memaksa pemaju menutup bilik pameran mereka di China dan beralih ke tempat lain untuk mencari pembeli baru.

Lee berkata, peningkatan jualan bagi suku pertama dibantu kemampuan warga asing dan manfaat di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Program MM2H diperkenalkan pada 2002 bagi menarik warga asing menetap di Malaysia, khasnya mereka yang sudah bersara dan mahu menjalankan perniagaan di negara ini.

TMR melaporkan dari Januari hingga Ogos 2017, warga China menguasai program MM2H dengan 1,439 atau 46.7% permohonan diluluskan untuk tinggal di Malaysia.

Korea Selatan berada di tempat ke-2 dengan 278 pemohon (9%), Bangladesh 253 (8.2%), Jepun 179 (5.8%), Hong Kong 151 (4.9%), United Kingdom dan Ireland Utara 113 (3.7%), Taiwan 80 (2.6%), Australia 66 (2.1%) dan Singapura 60 (1.9%).

Ada 55 pemohon Amerika Syarikat diluluskan, manakala baki 410 atau 13.3%, dari negara lain.