Setpol ganti Hadi di Rhu Rendang, Syed Azman gugur

MARANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan DUN Rhu Rendang kepada setiausaha politiknya, Ahmad Samsuri Mokhtar selepas diumumkan beliau hanya akan bertanding di Parlimen Marang.

Hadi melepaskan kerusi yang disandang selama 8 penggal sejak 1982 kerana mahu menumpukan pada pentadbiran parti di peringkat kebangsaan.

Perkara itu diumumkan Ketua PAS negeri, Datuk Husain Awang di Marang, Terengganu semalam.

PAS Terengganu bertanding di semua 8 Parlimen dan 32 DUN di negeri itu, dengan 15 muka baru.

“Kita tidak ada lagi ikatan dengan Pakatan Harapan maka kita akan bertanding di semua kawasan Parlimen dan DUN,” katanya di Dewan Tok Guru, Rusila.

Sementara itu, nasib penyandang Syed Azman Syed Ahmad Nawawi akhirnya terjawab apabila beliau digugurkan dari DUN Batu Burok.

Kerusi itu diberikan kepada anak Hadi, Khalil, yang juga ketua Pemuda PAS. Masa depan penyandang 2 penggal itu dalam PAS menjadi teka-teki kerana beliau dilihat mesra Pakatan Harapan.

PAS mengekalkan 3 penyandang kerusi Parlimen iaitu Hadi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus) dan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun).

Sementara itu, PAS mencalonkan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Ahmad Amzad Mohamed untuk merampas Parlimen Kuala Terengganu dari tangan Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Pada pilihan raya umum lepas, kerusi Parlimen yang dimenangi PAS dan BN masing-masing 4 kerusi.

Bagi DUN pula, PAS mengekalkan 15 penyandang daripada 17. Parti Islam itu mengugurkan bekas ketua negeri, Abdul Wahid Endut dari DUN Wakaf Mempelam kerana masalah kesihatan.