Shahrizat dakwa Izzah pengecut, tak pertahan kerusi Lembah Pantai

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pengecut kerana mendakwanya tidak berani mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenanginya sejak 2008.

Beliau sebaliknya mencabar Izzah untuk terus bertanding di kerusi Parlimen itu menentang calon BN, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

“Wakil rakyat hari ini belum tamat tempoh dah pergi kawasan lain kerana takut pada Nong Chik,” katanya pada majlis Salam Sayang Perdana di Pusat Komuniti Lembah Pantai, hari ini.

“Dia takut pada jentera Wanita sebab kita bukan calang-calang. Dia fikir kalau kekal di sini sebagai calon, alamak ‘ku dasai’ (matilah).

“Orang semua tahu beliau kerja tak buat, cakap sahaja, akhirnya cuba nasib di kawasan dirasa selamat. Kalau rasa hebat, duduklah di Lembah Pantai lawan Nong Chik, baru tahu langit tinggi ke rendah.”

Nong Chik yang juga ketua Umno Bahagian Lembah Pantai pada majlis sama mengumumkan dirinya akan bertanding di Lembah Pantai.

Izzah memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 2008 dengan mengalahkan Shahrizat melalui kelebihan 2,895 undi dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2013, selepas menewaskan Nong Chik dengan 1,847 undi.

Rabu lalu, Izzah menolak spekulasi akan menggantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Permatang Pauh, selepas ibunya dilaporkan tidak menolak kemungkinan akan melepaskan kerusi Parlimen itu dan berpindah ke Parlimen Pandan.

Veteran Umno lupa daratan

Sementara itu, Shahrizat mengkritik sesetengah pemimpin veteran Umno yang berpaling tadah sebagai lupa daratan kerana memihak kepada pembangkang dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

Tanpa menyebut nama, kritikan ketua Wanita Barisan Nasional (BN) itu dipercayai ditujukan kepada bekas pemimpin tertinggi Umno termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim.

“Ada ahli veteran kita lupa daratan, siapa mereka dulu kalau bukan BN? Bila tak ada jawatan, semua tak kena, bukan sahaja lelaki, wanita juga ada 2, 3 ikut sekali.

“Tapi, mereka ini ada yang saya baca, itu perempuan (dipercayai dituju kepada Rafidah) masa pegang jawatan beliau bergempak-gempak, bila tak ada jawatan macam-macam pula fitnah dia buat.”

Rafidah dan Rais antara pemimpin veteran Umno yang lantang mengkritik Najib.

Pada 7 April lalu, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu mendakwa Najib ketika menjadi menteri pertahanan pada 2008 mencadangkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah Angkatan Tentera Malaysia kepada sebuah syarikat milik 3 individu.

Beliau mendakwa Najib mencadangkan tempoh pajakan selama 40 tahun, tanpa tender terbuka atau meminta sebut harga kepada syarikat swasta itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Kementerian Pertahanan, agensi pusat yang bertanggungjawab menyelaras projek penswastaan dan kerjasama awam-swasta.

UKAS berkata, kementerian itu tertakluk kepada proses perbincangan, saringan dan kelulusan dalaman pelbagai peringkat, sebelum perakuan diberikan UKAS dan Jawatankuasa Tertinggi Awam-Swasta yang dipengerusikan ketua setiausaha negara.

Selain itu, tanah yang terlibat dengan kaedah pertukaran tanah atau “land swapping” hanya dilaksanakan selepas mendapat persetujuan semua cabang angkatan tentera, iaitu darat, laut dan udara.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Rais bidas kesombongan pemimpin Umno

Rafidah diminta jangan guna nama Allah, cermin diri