Wee Choo Keong kembali ke Wangsa Maju?

Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong berkata beliau terpanggil untuk kembali berkhidmat selepas mendengar aduan rakyat.

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong sedang mempertimbangkan untuk kembali bertanding pada pilihan raya nanti, merasakan warga Wangsa Maju tidak diwakili dengan baik.

Wee, yang memenangi Wangsa Maju sebagai calon PKR pada 2008 berkata, dia kerap menemui warga Wangsa Maju sejak 3 bulan lalu.

“Saya menerima panggilan daripada orang ramai yang mengadu Ahli Parlimen mereka mengabaikan mereka. Mereka kata mereka tidak dijaga, jadi saya terpanggil untuk berkhidmat seperti sebelum ini,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Wee menewaskan calon MCA, Yew Teong Look. Dua tahun kemudian beliau meninggalkan PKR kerana kecewa dengan cara kerajaan Selangor mengendalikan skandal perlombongan pasir Dengkil.

“Walaupun saya wakil rakyat bebas, saya rasa saya menjaga warga Wangsa Maju dengan baik. Tidak banyak masalah kerana saya selalu mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang menerima kritikan saya dan menjaga kawasan ini.”

Anak kelahiran Kelantan ini merupakan Ahli Parlimen Bukit Bintang semasa bersama DAP. Mereka tidak sehaluan di penggal kedua perkhidmatannya. Selepas disingkirkan daripada DAP, beliau menubuhkan Parti Demokratik Malaysia, bertanding pada pilihan raya umum 1999 dan 2004 tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Wee berkata dia tidak takut untuk bersuara, termasuk berkenaan pertukaran saham antara Malaysia Airlines dan AirAsia yang mengundang kontroversi.

“Saya menonjolkan isu itu dan selalu membangkitkannya di Dewan Rakyat kerana orang ramai akan kerugian.”

Urus janji pertukaran saham pada Ogos 2011 itu kemudian dibatalkan.

Wee tidak mahu mengkritik penyandang Wangsa Maju, Tan Kee Kwong dari PKR, “kerana saya rasa dia perlu diberi kebebasan untuk melakukan apa yang dia rasakan terbaik”.

“Sekarang Parlimen sudah dibubarkan, dan tiba masanya rakyat menilai prestasi wakil rakyat mereka.”

Wee berkata Tan antara lain gagal menangani masalah yang dihadapi warga Wangsa Maju.

Spekulasi kuat mengatakan PKR akan menggantikan Tan dengan bekas setiausaha Parlimen kepada menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Yee Kew.

“Jika ini yang pembangkang tawarkan pada rakyat Wangsa Maju, saya bimbang mereka tidak akan dijaga dengan baik kerana Tan Yee Kew tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang baik semasa menjadi Ahli Parlimen Klang.”