Zaid: Tak marah cuma kecewa dengan pemimpin DAP ‘angkuh’

Zaid Ibrahim mempertahankan gambarannya tentang DAP sebagai sebuah parti Cina.

KUALA LUMPUR: Merasakan dirinya mempunyai bakat semulajadi untuk mencetuskan kontroversi, berkaitan catatan Twitter yang dikatakan disalah faham, ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim hari ini bercakap tentang perkara yang boleh mengundang lagi banyak kritikan.

Zaid dalam catatan blognya berkata dia tidak marah dengan DAP kerana tidak meletakkan beliau sebagai seorang calon pada pilihan raya umum akan datang, cuma berasa kecewa. Zaid kemudian berkata tidak berpuas hati dengan sikap kepimpinan DAP, mendorong beliau membidas mereka bersikap “angkuh”.

Bekas menteri itu menjelaskan, catatannya minggu lepas mengatakan sebuah parti Cina mengumumkan calon menteri mereka (dari kalangan ahli yang bertanding di Ayer Hitam dan Teluk Intan) dan keluhan terhadap parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan yang masih berdiam diri tentang calon-calon menteri mereka, beliau sekadar menunjukkan perbezaan tingkah laku antara orang Cina dan Melayu.

Zaid berkata parti Cina secara terbuka menyatakan pilihan menteri mereka manakala parti Melayu pula cenderung bersikap segan-segan dan berat mulut.

Beliau dikritik orang ramai kerana membuat kenyataan itu, menggelar beliau seorang rasis atau berkata demikian untuk membalas dendam terhadap DAP kerana tidak memilihnya sebagai calon.

“Pertama, menggelar DAP parti Cina tidak sama dengan menggelar DAP parti rasis. Kadangkala, apabila kita menggambarkan Gerakan sebagai sebuah parti Cina atau Umno parti Melayu, kita membuat satu gambaran yng umumnya tepat. Betul, Gerakan mempunyai ahli bukan Cina dan Umno mempunyai ahli orang Kadazan, tetapi secara etnik kedua-dua parti sebahagian besarnya bersifat monolitik.Jadi, mengapa tersinggung apabila DAP dipanggil parti Cina?”

Kedua, saya langsung tak marah dengan DAP kerana tidak meletakkan saya sebagai calon. Ya, saya kecewa, tetapi tidaklah sampai mahu membalas dendam seperti yang sesetengah orang katakan tentang catatan Twitter saya itu.”

Zaid berkata DAP menawarkan kerusi Gelang Patah kepadanya 12 bulan lepas, tetapi 3 bulan kemudian dia diberitahu tawaran itu “bersyarat”. Dia tidak mendedahkan apakah syarat itu.

“Tawaran itu kemudian ditarik balik. Kemudian, seorang pemimpin lapis kedua dalam DAP memberitahu saya boleh ke Bentong jika berminat. Saya jawab kerusi itu tidak sesuai dengan saya. Saya tidak cukup kuat untuk mengalahkan seorang gergasi politik dan mempunyai sumber yang terhad kerana saya menganggur sejak 8 tahun lalu.

“Perkara pilihan raya dan agihan kerusi tidak lagi dibangkitkan dalam tempoh 6 bulan lepas. Saya juga tidaklah terlibat sangat dalam aktiviti parti. Apabila saya menghantar pesanan teks pada 27 Mac tahun ini kepada orang-orang penting dalam parti, untuk bertanyakan jika ada kerusi untuk saya bertanding, langsung tidak budi bahasa untuk sekurang-kurangnya menjawab pertanyaan itu. Jadi, bukanlah masalah kerusi yang mengganggu saya tetapi sikap yang ditunjukkan.”

Menggunakan pengalamannya itu sebagai contoh, Zaid berpandangan apa yang kurang dalam hubungan orang Melayu dan Cina di peringkat politik ialah keseimbangan antara ketertiban dan hormat.

“Masalah MCA ialah mereka terlalu menurut dan berserah dalam hubungan mereka dengan Umno, sebab itu mereka hilang sokongan masyarakat Cina. Saya kini yakin keangkuhan kepimpinan DAP tidak akan menjamin sokongan mendalam daripada orang Melayu. Diantara mereka terletak keseimbangan yang saya tercari-cari.

“Apapun, saya berharap pemimpin DAP tidak memanjangkan perkara ini dan cukuplah berita orang saya menolak kerusi yang ditawarkan.”

Zaid berkata dia juga tidak mahu menimbulkan perkara ini lagi, dan menambah perkara paling penting ialah solidariti untuk memastikan kemenangan pembangkang.