16 bekas ahli Umno mahu mula prosiding hina mahkamah

Haniff Khatri Abdulla berkata, anak guamnya juga mahu mahkamah menggantung semua aktiviti Umno.

PETALING JAYA: Sekumpulan ahli Umno yang dipecat hari ini akan memulakan prosiding komital terhadap parti itu kerana menghina mahkamah, kata peguam mereka.

Semalam, 16 ahli Umno memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Umno kerana menangguhkan pemilihan parti selama 5 tahun. Mereka dipecat secara automatik hari ini.

Peguam mereka, Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini tentang pemecatan keahlian secara automatik kerana mengheret parti itu ke mahkamah boleh dilihat sebagai mengganggu prosiding mahkamah.

“Umno tahu tindakan ini, dan dalam rayuan semakan kehakiman, kami juga memohon kebenaran untuk menggantung semua aktiviti dan urusan Umno sementara kes ini diselesaikan.

“Arahan pemecatan itu merupakan ‘perbuatan menghina mahkamah yang jelas dan terang-terangan.

“Kami akan memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Umno kerana tidak menghormati mahkamah,” katanya kepada FMT.

Tengku Adnan dalam kenyataannya hari ini berkata, beliau akan mengeluarkan surat pemecatan keahlian kepada 16 individu itu secepat mungkin.

Beliau mendakwa parti pembangkang mendalangi tindakan itu dalam usaha memalukan Umno sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei depan.

Pada 2015, ahli Umno Wanita Bahagian Langkawi, Anina Saadudin dipecat beberapa hari selepas beliau memfailkan saman terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak berkaitan deposit wang kira-kira RM2.6 bilion dalam akaun bank sendiri.

Semalam, 16 ahli Umno yang diketuai Ketua Umno Cawangan Seri Merpati Pandan Indah, Salihudin Ahmad Khalid, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman ke atas penangguhan pemilihan parti itu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) sehingga tahun depan.

Mereka berkata, keputusan itu melanggar perlembagaan Umno dan memohon kelulusan itu dibatalkan.

Mereka juga mahu JPPM menyiasat Umno atas dakwaan melanggar perlembagaan parti dan mengeluarkan arahan menggantung aktiviti parti itu sehingga kes di mahkamah selesai.

Mereka turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah membubarkan Umno mulai semalam, atas alasan parti itu kini “haram”.

Umno pecat 16 ahli heret parti ke mahkamah

16 ahli Umno mohon mahkamah bubar parti