Arul Kanda: DoJ belum hubungi 1MDB

Arul Kanda berkata, tiada pihak berkuasa antarabangsa yang menghubungi 1MDB. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Walaupun heboh tentang penyiasatan di beberapa negara mengenai dakwaan penyelewengan dana 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, tiada pihak berkuasa dari luar negara yang menghubungi beliau atau syarikat itu.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif 1MDB itu berkata, tiada sebarang perhubungan khusus antara 1MDB dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), berikutan saman sivil yang difailkan di mahkamah negara itu berhubung isu ini.

Bercakap dalam wawancara dengan CNBC semalam, Arul berkata: “Syarikat ini tidak dihubungi DoJ dan kita sentiasa terbuka serta sedia bekerjasama, ketika ini, tiada pihak berkuasa antarabangsa tersebut yang menghubungi 1MDB.”

CNBC melaporkan DoJ tidak menjawab permintaan bagi mengesahkan tidak ada kontak dengan 1MDB.

Arul berkata, 1MDB sendiri tidak disiasat.

DoJ memulakan tindakan saman sivil di AS bagi mendapatkan semula aset yang dikatakan diperolehi melalui dana diseleweng daripada 1MDB.

Katanya, dana lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) milik 1MDB diseleweng beberapa pegawai tinggi syarikat itu dan rakan kongsi mereka dari 2009 hingga 2015.

Pihak berkuasa di Switzerland dan Singapura mendapati beberapa individu disabitkan kesalahan dan menutup beberapa bank atas dakwaan transaksi pengubahan wang membabitkan dana yang dikatakan milik 1MDB.

Arul berkata: “Penyiasatan DoJ sangat spesifik berkaitan rampasan aset dan beberapa individu tertentu, jadi 1MDB bukan sebahagian daripada penyiasatan itu. Kami bukan subjek inkuiri.”