BN Kota Bharu janji taja perkahwinan pertama orang bujang

Fatmi Che Salleh berkata, tajaan BN Kota Bharu itu diberikan kepada pengantin semua kaum yang berkahwin buat pertama kali.

KOTA BHARU: Menaja kos majlis perkahwinan kali pertama antara 4 tawaran dalam manifesto tambahan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) oleh Barisan Nasional (BN) Kota Bharu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, berkata BN sedar di kawasan Parlimen Kota Bharu, ramai golongan muda bujang tidak mampu melangsungkan perkahwinan kerana kekangan kewangan.

“Tajaan yang diberikan kepada semua kaum itu adalah untuk perkahwinan yang pertama sahaja. Pasangan (Islam) perlu melakukan akad nikah terlebih dahulu dan perlu mendaftar dengan kita untuk diadakan majlis kenduri perdana,” katanya selepas melancarkan manifesto tambahan itu di sini, hari ini.

Selain itu, BN Kota Bharu akan meneruskan tuisyen percuma kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di lebih 50 sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Kota Bharu yang dijangka melibatkan peruntukan RM1 juta.

Katanya, bagi pasangan yang melahirkan anak sulung, mereka akan diberikan bantuan “one off” sebanyak RM100 bagi membeli barangan keperluan bayi.

Fatmi berkata, BN Kota Bharu juga berjanji untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat dengan membina 5,000 rumah melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita berjanji semua kaum akan mendapat manfaat dengan pembinaan PPR ini,” katanya.

Manifesto BN Kelantan bertema “Bersama Demi Kelantan” mengandungi 7 jaminan utama buat semua lapisan rakyat Kelantan dalam 60 tawaran dilancarkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Khamis lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU14 ialah 9 Mei, hari penamaan calon pada 28 April ini dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei.

BN Pasir Puteh janji bina Universiti Al Quran

Di Pasir Puteh, pembinaan Universiti Al Quran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising adalah antara 25 akujanji yang terkandung dalam manifesto tambahan BN Pasir Puteh untuk PRU14.

Bapa angkat Umno Bahagian Pasir Puteh, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata penubuhan universiti itu bagi merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan 125,000 huffaz pada 2030 dan menjadikan DUN berkenaan zon keilmuan.

Akujanji lain adalah menjadikan DUN Semerak sebagai kawasan industri dan mewujudkan kompleks sukan bagi menjana 50,000 peluang pekerjaan bertujuan menarik minat golongan belia yang bekerja di luar Kelantan pulang bekerja di negeri ini.

BN Pasir Puteh akan berusaha merancakkan pembangunan di sekitarnya sebagai gerbang halal serantau bagi meningkatkan tahap sosial ekonomi penduduk setempat dan membangunkan 250 lot industri kecil dan sederhana bagi mewujudkan peluang keusahawanan.

DUN Gaal pula diwujudkan zon kesenian dan kebudayaan, manakala DUN Limbongan akan dibangunkan Bandar Pasir Puteh sebagai bandar ke-2 terbesar selepas Kota Bharu.

BN Pasir Puteh juga berjanji akan mewujudkan kolej komuniti bagi menyediakan latihan kemahiran dan peluang lebih luas kepada anak muda di kawasan Parlimen tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, BN Pasir Puteh juga akan menyediakan kemudahan wifi percuma membabitkan 40 masjid di seluruh Parlimen itu bagi menarik minat anak muda mendekati dan mengimarahkan masjid.

Manifesto tambahan BN Pasir Puteh itu dilancarkan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14