Borang calon laris petanda ramai bertanding PRU14

PETALING JAYA: Ribuan borang pencalonan dijual di sekurang-kurangnya di 3 negeri, petanda ramai calon akan bertanding pada 9 Mei nanti.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jualan borang pencalonan di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah paling banyak, setakat ini.

Di Sabah dan Labuan, 288 borang pencalonan dijual untuk 26 kerusi Parlimen dan 605 borang dibeli untuk 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di Pulau Pinang, 120 borang dibeli calon berpotensi bagi 13 kerusi Parlimen dan 390 borang untuk 40 kerusi DUN.

Di Kedah, lebih 340 borang dijual untuk 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN.

Sementara itu, Bernama melaporkan SPR menjual 3,737 borang pencalonan bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sehingga semalam.

SPR dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak 1,220 daripadanya adalah borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan 2,517 bagi DUN.

SPR menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon dan 9 Mei sebagai hari mengundi.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan pada PRU14 kekal seperti PRU13, iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14