Bosan dengan perang bendera, penduduk mahu tindakan diambil

PETALING JAYA: Perang bendera pilihan raya menyebabkan sebilangan penduduk Kuala Lumpur berang dan mendesak pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan.

Parti politik mula merebut kawasan dengan memasang bendera masing-masing, walaupun masih ada seminggu menjelang hari penamaan calon pada 28 April, sebelum kempen pilihan raya bermula dengan rasminya.

Namun, bendera parti mula kelihatan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan 2 minggu lepas.

Keadaan ini mengecewakan ramai penduduk, termasuk seorang wanita di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur yang mempersoalkan pihak berkuasa kurang bertindak untuk menurunkan bendera tersebut.

“Ia menyakitkan mata penduduk dan pengguna jalan raya di sini,” katanya.

Beliau yang enggan dikenali memberi contoh kawasan antara Pantai Permai dan Pantai Hill Park.

Katanya khemah didirikan, bendera dinaikkan dan pokok tidak terkecuali dipenuhi bendera parti.

“Bendera mula dinaikkan sejak 8 April lalu, ia hanya sedikit pada mulanya, tetapi sejak semalam, ia bertambah buruk apabila lebih banyak bendera dinaikkan di sepanjang jalan kawasan kejiranan kami.”

“Adakah undang-undang penting kepada pihak berkuasa tempatan kerana bendera ini dinaikkan terlalu awal, bukan dalam tempoh berkempen.”

Katanya, sesetengah ahli politik tidak mempedulikan undang-undang dengan berkempen sebelum hari penamaan calon.

Di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, bendera parti hanya boleh dipasang oleh calon pilihan raya atau ejen mereka, yang bermakna tidak boleh berkempen sebelum hari penamaan calon.

Beliau mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memandang serius perkara itu.

“Saya nampak pekerja DBKL di sini, mereka hanya melihat bendera dinaikkan, tetapi tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Awal minggu ini, polis menahan 3 wanita yang menurunkan 133 bendera Barisan Nasional di Taman Tun Dr Ismail.

Kumpulan wanita itu berkata, aduan mereka kepada DBKL tidak diendahkan.

Mereka ditahan untuk disiasat atas dakwaan khianat dan aktivis, Maria Chin Abdullah tampil mendesak tindakan diambil ke atas pihak yang memasang bendera berkenaan.

Maria menyifatkan penahanan itu tidak adil, tidak perlu dan cubaan menakutkan rakyat.

“Pihak yang memasang bendera itu sepatutnya didakwa di bawah undang-undang kecil iklan dan vandalisme,” katanya.

Bekas pengerusi badan pemantau pilihan raya, Bersih itu dijangka bertanding mewakili Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 yang ditetapkan pada 9 Mei ini.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Rosakkan bendera BN, polis tahan 3 wanita