Keluarga dakwa pensyarah Palestin dibunuh ejen Mossad

Saudara Fadi al-Batash yang ditembak mati di Malaysia, berkumpul di luar rumah keluarganya di utara Semenanjung Gaza, pada Sabtu. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Keluarga jurutera warga Palestin yang ditembak mati awal pagi tadi menuntut pihak berkuasa Malaysia menyiasat kematiannya yang didakwa pembunuhan oleh ejen Israel di negara ini.

Fadi al-Batash ditembak mati 2 lelaki.

Fadi al-Batash, 35, ditembak lebih 10 kali dalam jarak dekat oleh 2 lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di Setapak, kira-kira 6 pagi hari ini.

Akhbar Israel, Haaretz memetik sumber berita Palestin yang melaporkan seorang pemimpin kanan kumpulan Jihad Islam Palestin yang bersaudara dengan mangsa, Khaled al-Batash, mendakwa agensi risikan Israel Mossad mendalangi pembunuhan itu.

Menurut laporan itu, Fadi yang mempunyai seorang isteri dan 3 anak, sepatutnya menghadiri sebuah persidangan tenaga pada Ahad.

Haaretz juga melaporkan Fadi ialah ahli kumpulan Hamas dan merupakan bekas penduduk Jabalya di utara Semenanjung Gaza.

Memetik sumber Palestin, akhbar itu melaporkan Fadi “adalah jurutera yang dihormati dalam bidang kejuruteraan elektrik dan penghasilan tenaga”.

Hari ini, Bernama memetik polis sebagai berkata, 2 penyerang menunggu kira-kira 20 minit di luar kondominium Fadi sebelum melepaskan lebih 10 tembakan ke arah mangsa yang dalam perjalanannya ke surau berdekatan untuk menunaikan solat subuh.

Difahamkan, beliau selalu mengimamkan solat di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada bulan Ramadan sejak 2014 atas inisiatif pertubuhan kebajikan tempatan, Humanitarian Care Malaysia (MyCare).

Zahid: 2 warga Eropah tembak pensyarah Palestin

Pensyarah universiti dari Palestin maut ditembak ketika ke surau