Lagi pengundi Wangsa Maju tolak calon MCA

Sebilangan pengundi muda yang menganggotai Kelab Belia Persaudaraan Bandar Setapak mengugut tidak akan mengundi BN, jika ia menurunkan calon lain, selain Shafei Abdullah.

KUALA LUMPUR: Sehari menjelang pengumuman calon oleh Barisan Nasional (BN), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili belia tampil mendesak parti itu tidak memilih calon MCA, sebaliknya mahu Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Timbalan Presiden Kelab Belia Persaudaraan Bandar Setapak, Mohd Abd Malek berkata kelab itu mempunyai 1,000 hingga 1,500 ahli dan mereka tidak akan mengundi, jika BN menurunkan calon MCA atau calon lain, selain Shafei.

“Kalau wakil dari MCA, kami tidak akan mengundi. Bahkan kalau dari Umno juga, kami akan lihat jika calon berkenaan adalah orang tempatan atau kami tidak akan keluar mengundi,” katanya pada sidang media di Setapak, hari ini.

Pada 16 April lalu, sekumpulan pengundi Cina di Wangsa Maju mengugut akan menyokong pembangkang, jika BN meletakkan calon MCA di Wangsa Maju.

Wakil gabungan NGO masyarakat Cina Wangsa Maju, Low Kong Nam dilaporkan berkata, walaupun Shafei kalah pada 2013, beliau masih membantu rakyat berbanding wakil MCA yang hanya “memilih dari kalangan kawan-kawan mereka sahaja”.

Ia disusuli sebuah gabungan bukan kerajaan, NGO Berbai’ah Malaysia yang mahu Shafei dicalonkan di Wangsa Maju pada 19 April lalu.

Setiausaha Sekretariat NGO Berbai’ah Malaysia, Zulkifly Sharif dilaporkan berkata, Shafei mempunyai rekod perkhidmatan baik selaku ketua Umno Bahagian Wangsa Maju dan rajin turun padang serta mempunyai skuad khas untuk membantu warga Wangsa Maju yang ditimpa musibah.

Hari ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata senarai calon bagi peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan diumumkan pagi esok.

Mengulas lanjut, Mohd berkata, sepanjang 5 tahun ini, MCA tidak pernah membantu penduduk di Parlimen Wangsa Maju dan tidak dikenali masyarakat tempatan.

Setiausaha Kelab Belia Persaudaraan Bandar Setapak, Muhammad Faizal Mohd Umar pula menuntut Tengku Adnan mengotakan janjinya untuk meletakkan calon Melayu di kerusi Parlimen itu.

“Tengku Adnan ketika berucap pada program kenduri di Wangsa Maju berkata akan kekalkan calon Melayu, tetapi khabar angin pula kata calon di sini adalah MCA.

“Kami minta Tengku Adnan jangan bermuka-muka dalam isu ini. Tiada calon yang layak di sini selain Shafei, beliau mudah didekati dan sangat rajin turun padang.

“MCA hanya mahu bertanding tetapi gerak kerja MCA sangat tidak bersistem, sombong. MCA hanya gunakan isu kerusi ini sebagai kerusi tradisi mereka,” dakwanya.

Wangsa Maju mempunyai 67,775 pengundi yang terdiri daripada 61% Melayu, 21% Cina dan 18% India.

Pada 17 April lalu, Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look dilaporkan berkata, parti itu tidak patut diketepikan hanya kerana ugutan sekumpulan kecil pengundi Cina akan menyokong pembangkang, jika BN menurunkan calon parti itu di Wangsa Maju.

Katanya, pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana BN belum mengumumkan calon di kawasan berkenaan dan parti itu sudah melakukan persiapan sepenuhnya jika terpilih untuk bertanding di Wangsa Maju.

Yew memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada 2004, selepas menewaskan calon PKR dengan majoriti 10,185 undi, bagaimanapun beliau kalah dengan majoriti tipis 150 undi kepada Wee Choo Keong yang bertanding atas tiket PKR pada 2008.
Pada 2013, calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong menewaskan Shafei di kerusi itu dengan kelebihan 5,511 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Pengundi Cina ugut undi pembangkang, jika MCA tanding di Wangsa Maju

MCA tak patut diketepikan di Wangsa Maju kerana ugutan pengundi Cina