Mayat pelajar Malaysia maut di Bali dibawa pulang esok

Mayat V Tharshine akan dibawa pulang menerusi penerbangan ke Kuala Lumpur pada jam 4.20 petang Ahad.

JAKARTA: Mayat pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya di Bali semalam akan dibawa pulang ke Malaysia esok.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, keluarga mangsa yang tiba 7.30 malam tadi sedang menguruskan perkara itu bersama pihak kedutaan.

Katanya, ayah mangsa, Veeraya Vamban dan bapa saudara mangsa, Kevindran Veeraya kini berada di Bali bagi urusan membawa pulang mayat V Tharshine, 24, menerusi penerbangan ke Kuala Lumpur pada 4.20 petang esok.

“Rakan mangsa, S Shivalamar, 24, yang cedera parah masih dirawat di hospital di Bali. Shivalamar dilaporkan masih koma,” kata jurucakap itu.

Dalam kejadian 6.45 petang semalam, Tharshine, 24, pelajar Universitas Udayana di Bali, maut di tempat kejadian, sementara 2 lagi rakan mangsa yang bercuti di sana, cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah trak yang diletakkan di tepi jalan di Karangasem.

Shivalamar yang membonceng motosikal ditunggang Tharshine, cedera parah di kepala dan badan, manakala seorang lagi rakannya, Rehan Chandra Sekaran, 25, yang menunggang motosikal lain, cedera ringan.

Jurucakap itu berkata, mayat Tharshine dijangka dibawa pulang ke kediaman mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Pelajar perubatan Malaysia maut dalam kemalangan di Bali