Pelajar perubatan Malaysia maut dalam kemalangan di Bali

Ketika kejadian, V Tharshine bersama 2 rakannya sedang menunggang 2 motosikal dari Karangasem, Bali ke kolej kediamannya di Denpasar.

PETALING JAYA: Seorang pelajar Malaysia di Universitas Udayana, Bali meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Indonesia, petang semalam.

Dua lagi rakan mangsa yang juga warganegara Malaysia dan sedang bercuti di Bali, turut cedera dalam kemalangan itu.

Difahamkan, ketika kejadian, V Tharshine, 24, pelajar tahun akhir jurusan perubatan di universiti itu bersama 2 rakannya sedang menunggang 2 motosikal dari Karangasem, Bali ke kolej kediamannya di Denpasar.

Motosikal yang ditunggang Tharshine merempuh sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu jalan, kira-kira 6.45 petang waktu tempatan.

Anak bongsu daripada 3 beradik yang berasal dari Sri Muda, Shah Alam itu difahamkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Seorang daripada rakan Tharshine yang membonceng motosikalnya, dilaporkan kritikal dan dirawat di Rumah Sakit Umum Pusat Sanglah, Denpasar.

Seorang lagi rakan mangsa yang menunggang sebuah motosikal lain, cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Mayat mangsa ditempatkan di unit forensik hospital itu.

Difahamkan, pegawai Kedutaan Malaysia dan ahli MIC bergegas ke hospital untuk membantu keluarga mangsa.