Rosmah terima permohonan maaf Izzah, kata pegawai khas PM

PETALING JAYA: Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima permohonan maaf Nurul Izzah Anwar yang ditegur tidak menghormatinya sebagai orang tua.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, beliau memaklumkan Rosmah mengenai permohonan maaf Izzah kepadanya.

“Alhamdulillah, Datin Seri Rosmah dengan terbuka hati menerima permohonan maaf Nurul Izzah. Bagi beliau, inilah yang diajar oleh Islam dan adat Melayu, supaya saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Perbezaan fahaman dan pandangan politik tidak boleh mengetepikan adab dan hormat. Yang muda menghormati yang tua, yang tua mengasihi yang muda,” tulis Rizal di Facebooknya hari ini.

Semalam, Rosmah dilaporkan berkata, beliau kecil hati dengan Izzah yang dianggap anaknya kerana tidak menghormatinya sebagai orang tua dan turut memfitnah serta mengkritiknya di media sosial.

Katanya, beliau mengenali Izzah sejak kecil lagi, tetapi kecewa dengan sikapnya itu dan menyifatkan Izzah tidak layak menjadi pemimpin.

“Tak apa kalau nak politik, politiklah, tapi jangan panggil orang nama sahaja, saya terasa. Saya umur 65 tahun, panggillah saya isteri Datuk Seri Najib ke, mak cik Rosmah ke, ada juga tanda hormat sikit.”

Susulan itu, Izzah memohon maaf kepada Rosmah dan menerima tegurannya sebagai kritikan membina.

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga berjanji akan menggunakan “Datin Seri” untuk menggelar Rosmah selepas ini.

Rizal bagaimanapun mencadangkan Izzah memohon maaf kepada Rosmah secara peribadi yang disifatkannya lebih bermakna berbanding membuatnya di media.

“Tidak salah untuk memohon maaf, bersalaman dan berdakapan. Sesuai dengan kelembutan nama ‘Puteri Reformasi’ yang disandangnya selama ini. Ia lebih manis dan bermakna daripada permohonan maaf di media.”

Rizal juga berharap pemimpin pembangkang lain seperti Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sering memfitnah Rosmah akan memohon maaf dan berpolitik secara beretika.

“Nurul Izzah dah mohon maaf, Azmin Ali, Rafizi Ramli dan lain-lain yang kaki maki dan fitnah Datin Seri Rosmah siang malam bila lagi? Moga-moga terbukalah hati mereka untuk berpolitik dengan lebih matang dan beretika.”

Saya akan guna gelaran ‘Datin Seri’ selepas ini, Izzah beritahu Rosmah

Saya kecil hati Izzah tak hormat saya, kata Rosmah