Adakah Batash komander tentera Hamas?

Media Israel mendakwa Fadi al-Batash terbabit dalam pembangunan dron. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin atasan Hamas berikrar akan membalas dendam terhadap agensi risikan dan pengintipan Israel, Mossad, atas pembunuhan pensyarah warga Palestin, Fadi al-Batash di Setapak, semalam.

Ketua politik Hamas, Ismael Haniyeh yang dipetik Associated Press (AP) berkata: “Ada akaun tidak selesai antara kita (Hamas) dan (Mossad)”, dan mendakwa agensi itu bertanggungjawab. Berdasarkan siri pembunuhan sebelum ini “Mossad tidak terlalu asing dengan jenayah memalukan dan ganas ini”.

“Kita tidak boleh membiarkan darah anak, pemuda dan ulama kita tumpah begitu sahaja,” kata Ismail, bekas perdana menteri Pihak Berkuasa Palestin, yang hadir di khemah berkabung Batash di Gaza semalam.

AP juga memetik Hamas sebagai berkata Batash, 35, adalah ahli yang “setia” dan seorang “saintis dalam kalangan cendekiawan muda Palestin” yang memberi “sumbangan penting” serta terlibat dalam forum antarabangsa mengenai tenaga.

Kerajaan Israel tidak mengulas kematian Batash, tetapi media Israel melaporkan Batash terlibat dalam projek pembangunan dron Hamas.

Menurut AP, upacara berkabung yang diadakan itu menunjukkan Batash ialah komander tentera Hamas, gerakan penting Palestin yang menentang pendudukan Israel.

Dilaporkan satu sepanduk di khemah berkabung itu menunjukkan beliau adalah anggota sayap tentera gerakan itu.

“Sepuluh anggota bertopeng dalam seragam celoreng berbaris di luar khemah di Jabaliya, tempat kelahiran Batash untuk menyambut penziarah. Upacara itu biasanya diadakan untuk komander kanan Hamas,” menurut laporan itu.

Batash ditembak kira-kira 6 pagi semalam, ketika berjalan dari kondominiumnya menuju surau berdekatan di Jalan Meranti, Setapak, untuk solat subuh.

Beliau ditembak lebih 10 kali dari jarak dekat oleh 2 lelaki tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, siasatan awal menunjukkan Batash sepatutnya berlepas ke Turki tengah hari semalam bagi menghadiri satu persidangan antarabangsa.

“Beliau (mangsa) yang merupakan pemastautin tetap di negara ini dipercayai menjadi liabiliti sebuah negara yang bermusuhan dengan Palestin,” kata menteri dalam negeri itu, semalam.

Beliau berkata, polis akan bekerjasama dengan Interpol dan Aseanapol untuk menjejaki 2 lelaki itu yang dipercayai warga Eropah.

Zahid: 2 warga Eropah tembak pensyarah Palestin

Pensyarah universiti dari Palestin maut ditembak ketika ke surau