Keluarga rayu hantar jenazah pensyarah ke Gaza

Keluarga meminta jenazah Fadi al-Batash dibawa pulang ke tempat kelahirannya di Jabalia, Gaza. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Keluarga pensyarah dan imam warga Palestin, Fadi al-Batash yang mati ditembak di Setapak, semalam, merayu jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan di negara kelahirannya.

Pengurus Besar Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO), Dr Mahmoud Shakfa berkata keluarga Batash mengemukakan permintaan itu supaya mereka boleh menatap wajahnya buat kali terakhir, selepas 7 tahun tidak berjumpa.

“Ayah Batash menghubungi kami meminta jenazahnya dibawa pulang ke tempat kelahirannya di Jabalia, Gaza. Seluruh keluarganya, terutama ibu dan adik-beradiknya ingin menatap wajahnya buat kali terakhir.

“Usaha giat dijalankan melalui kerjasama pihak Kedutaan Palestin, Mesir dan juga Malaysia bagi urusan logistik untuk membawa jenazahnya ke Gaza,” katanya di Hospital Selayang hari ini. Jenazah Batash kini berada di hospital itu untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, adik mangsa dijangka tiba petang ini dari Jerman.

Ditubuhkan pada 2016 sebagai badan bebas bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Malaysia, IESCO bertujuan menyokong dan membangunkan sektor pendidikan, kebudayaan dan saintifik dunia Arab serta Islam amnya.

Sementara itu, Anggota Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Mohd Zin Kandar berharap kerajaan membantu memudahkan urusan membawa pulang jenazah Batash ke Palestin.

Badan itu juga berharap kerajaan Mesir memudahkan proses berkenaan atas dasar kemanusiaan.

“Berdasarkan pengalaman, laluan paling pantas untuk ke Gaza adalah melalui Rafah di sempadan Mesir dan Palestin. Jadi, harapan kami ialah semua pihak berkaitan dapat memberi kerjasama penuh.”

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Batash ditembak mati ketika berjalan ke surau berdekatan kondominiumnya di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat subuh.

Polis setakat ini belum mengumumkan identiti mangsa, tetapi Kedutaan Palestin di sini berkata, mangsa dikenali sebagai Fadi al-Batash.

Pensyarah universiti dari Palestin maut ditembak ketika ke surau