Kes pensyarah Palestin: Polis nafi lewat tiba selepas 43 panggilan

Fuzi Harun menolak dakwaan Fadi al-Batash ialah pakar pembuat roket dan dron kerana setahunya warga Palestin itu hanya terbabit dalam bidang kejuruteraan elektronik.

KUALA LUMPUR: Polis menyangkal dakwaan seorang lelaki Arab menerusi video yang tular di media sosial kononnya 43 panggilan dibuat, namun polis lewat tiba di lokasi kejadian kes pensyarah dan imam warga Palestin, Fadi al-Batash ditembak mati di Setapak, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian 10 minit selepas menerima laporan orang awam.

Beliau berkata, polis turut menafikan dakwaan lelaki dalam video itu kononnya dia turut berada di lokasi kejadian bersama Batash ketika mangsa ditembak.

Polis sedang menyiasat penularan video itu.

Katanya, hasil soal siasat ke atas saksi membuktikan tiada warga asing bersama Batash di lokasi kejadian ketika dia ditembak.

“Penularan video itu berpunca daripada perkongsian di sebuah Facebook di mana pemilik kemudiannya mengakui dia khilaf dalam membuat terjemahan ke atas dakwaan lelaki Arab itu berhubung jumlah panggilan dibuat kepada polis yang sepatutnya 2 hingga 3 panggilan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Fuzi berkata, ketika ini, pihaknya sedang mempergiatkan usaha memburu lelaki Arab berkenaan untuk tindakan lanjut.

Mengenai dakwaan polis menahan seorang suspek utama kes berkenaan yang juga tular di media sosial, Fuzi berkata, ia tidak benar sama sekali.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung kes berkenaan, manakala gambar lelaki yang ditahan itu dan tular di media sosial merupakan kes lain serta tiada kaitan dengan kes tembak ini.

“Dakwaan yang Batash merupakan pakar pembuat roket dan dron juga tidak benar kerana setahu saya, beliau terlibat dalam bidang kejuruteraan elektronik.”

Ditanya sama ada kes berkenaan melibatkan kuasa asing atau mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara, Fuzi berkata perkara itu sedang disiasat.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan atau menularkan sebarang berita yang tidak sahih sehingga menimbulkan kebimbangan serta kegusaran masyarakat.”

Katanya, sebuah pasukan khas sudah diwujudkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh supaya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Mengenai status bedah siasat jenazah Batash, beliau berkata, ia dijalankan 9 pagi tadi di Hospital Selayang.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Batash ditembak mati ketika berjalan ke surau dekat kondominiumnya di Jalan Meranti, Setapak untuk menunaikan solat subuh.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/21/pensyarah-universiti-dari-palestin-maut-ditembak-ketika-ke-surau/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/04/21/zahid-2-warga-eropah-tembak-pensyarah-palestin/