Mat Sabu bertanding di Kota Raja

Calon Amanah yang akan bertanding di 4 kerusi Parlimen dan 10 kerusi di Selangor, bergambar bersama selepas sidang media khas hari ini.

SHAH ALAM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu akan bertanding di Parlimen Kota Raja pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengumumkannya dalam sidang media khas hari ini, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim berkata Amanah akan bertanding di 4 kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Pengarah Komunikasi parti itu, Khalid Samad akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam yang disandangnya selama 2 penggal ketika bersama PAS dan Hanipa Maidin dicalon mempertahankan kerusi Parlimen Sepang yang dimenanginya pada PRU13 juga atas tiket PAS.

Dua lagi calon Amanah yang bakal bertanding di kerusi Parlimen adalah Pengarah Strategiknya, Dr Dzulkefly Ahmad di Kuala Selangor dan Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus di Hulu Langat.

Dzulkefly yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor atas tiket PAS tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim pada PRU13, manakala Hasanuddin yang bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam, Johor, atas tiket PAS pada 2008 tewas kepada calon BN, Ayub Jamil.

Bagi kerusi DUN, penyandang DUN Hulu Klang, Saari Sungib dan DUN Morib, Hasnul Baharuddin akan mempertahankan kerusi masing-masing yang dimenangi pada PRU13 atas tiket PAS, sementara bekas ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud akan bertukar ke kerusi DUN Seri Serdang.

Tujuh muka baru yang akan bertanding di kerusi DUN adalah Izham di Pandan Indah (nama lama Chempaka); Ahmad Mustain Othman (Sabak); Mariam Abdul Rashid (Sungai Panjang); Mohd Amran Sakir (Hulu Bernam); Mohd Sany Hamzan (Taman Templer); Mazwan Johar (Sungai Ramal) dan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru).

Ditanya jika kerusi Parlimen Kota Raja ialah kerusi “selamat”, Mat Sabu berkata ia diputuskan parti: “Tidak tahu (Kota Raja) selamat atau tidak, ia bergantung kepada sokongan pengundi di situ. Yang penting kita kena bekerja kuat, kena jual diri.”

Pada PRU13, Mat Sabu yang juga bekas timbalan presiden PAS tewas kepada calon BN, Datuk Othman Abdul di kerusi Parlimen Pendang, Kedah, dengan majoriti 2,638 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14