Nur Jazlan: Imigresen beroperasi maksimum 3 hari sempena PRU14

Nur Jazlan menasihat rakyat Malaysia di Singapura mengambil cuti atau merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pintu masuk. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Kaunter Imigresen di kedua-dua pintu masuk Malaysia-Singapura akan beroperasi secara maksimum selama 3 hari, bermula 8 hingga 10 Mei ini untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia bagi membolehkan pekerja Malaysia pulang mengundi pada 9 Mei ini.

Tegasnya, kesesakan lalu lintas di pintu masuk seharusnya tidak dijadikan alasan untuk menyalahkan kerajaan.

“Kalau mereka warganegara bertanggungjawab, ambillah cuti dan pulang mengundi, bukan salahkan kerajaan bila kesesakan berlaku.

“Yang penting, kerajaan tidak menghalang dan akan memastikan kemampuan Jabatan Imigresen pada hari itu pada tahap maksimum.

“Namun, memang akan timbul kesesakan sekiranya semua pulang secara serentak,” katanya selepas Program Jualan Sentuhan Rakyat, hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Pulai itu berkata, kesesakan ialah perkara biasa, terutama dengan jumlah kenderaan keluar masuk yang banyak, namun mereka boleh mengambil alternatif lain dengan merancang perjalanan atau mengambil cuti.

Beliau mengulas kebimbangan rakyat Malaysia di Singapura untuk pulang mengundi yang jatuh pada hari bekerja di negara itu.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengumumkan cuti bagi 350 pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Johor yang bertugas di 2 Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor dibekukan pada 8 hingga 10 Mei ini bagi melancarkan PRU14.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14