PAS berteka-teki kedudukan Khalid Ibrahim

PAS enggan memberitahu jika Khalid Ibrahim akan bertanding sebagai calon parti Islam itu pada PRU14.

BANGI: PAS enggan mendedakan jika Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding di bawah tiket parti Islam itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Pemuda PAS, Khalil Hadi berkata partinya akan membuat kejutan pada hari terakhir pengumuman calon parti itu di Kelantan, 25 April ini.

Ditanya jika Khalid akan bertanding atas tiket PAS, Khalil berkata: “Itu akan terjawab di hari terakhir penamaan calon.

“Ada beberapa lagi antaranya di Kelantan dalam masa terdekat,” katanya selepas berucap di Forum Town Hall di Pusat Konvensyen Bangi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS akan memujuk Khalid untuk bertanding mewakili parti itu.

Pada PRU12, Khalid yang bertanding di bawah tiket PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Tan Chai Ho dengan majoriti 2,515 undi di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti besar 11,832 undi dalam pertandingan 4 penjuru antara BN, PKR dan 2 calon bebas.

Khalid yang merupakan ahli korporat terkemuka sebelum menceburi politik pada 2007 dipecat PKR pada 9 Ogos 2014 kerana mengingkari keputusan Majlis Pimpinan PKR yang sebulat suara memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini tidak berparti, hari ini mengulangi pendirian tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) walaupun mengaku “disunting” beberapa pihak berbuat demikian.

Pada 12 Mac lalu, Khalid mengulangi pendiriannya tidak bertanding pada PRU14, walaupun “disunting” beberapa parti.

Beliau yang dipetik Bernama berkata, mahu memberi peluang kepada orang lain dan menumpukan perhatiannya kepada kerja sosial.

“Parti lama saya (PKR) pun ada jumpa saya, parti PAS pun ada tanya (berkenaan bertanding) tetapi saya buat keputusan untuk tidak bertanding,” katanya.

Sementara itu, Khalil yang juga anak presiden PAS berkata, lebih penting ialah Khalid memberi komitmen terhadap perjuangan PAS dan Gagasan Sejahtera.

“Untuk makluman juga, Khalid esok akan bersama dalam pelancaran manifesto PAS dan ini tunjuk komitmen beliau bersama PAS dan Gagasan,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Khalid Ibrahim tegaskan pendirian tidak bertanding pada PRU14