PBS lapor polis, nafi dakwaan keluar BN

Johnny Mositun (tengah) ditemani beberapa pemimpin PBS membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di Karamusing, pagi tadi.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya beliau mengumumkan parti itu sudah meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Mositun yang ditemani peguam dan beberapa pemimpin PBS membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di Karamusing, pagi tadi.

Beliau berkata, tuduhan itu amat serius dan meminta polis mengambil tindakan tegas di bawah Akta Anti-berita Tidak Benar 2018.

“Saya terkilan dengan kenyataan tersebut dan menafikan ada membuat pengumuman berkenaan. Ia sudah tular di media sosial dan ini boleh menjejaskan keluarga serta kedudukan saya dalam parti. Apa yang ditularkan langsung tidak benar,” katanya.

Beliau juga percaya individu yang menularkan tuduhan berkenaan berniat jahat dan sengaja menjejaskan kredibiliti PBS serta BN.

Mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp itu diterimanya kira-kira 9.30 malam tadi yang menyatakan beliau mengumumkan PBS sah keluar daripada BN.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14