Putrajaya: Daim ‘pro-Mahathir’ putar belit fakta cukai ECRL

KUALA LUMPUR: Putrajaya menjelaskan kontraktor utama projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) masih tertakluk kepada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk perkara tiada kaitan dengan projek bernilai RM55 bilion itu, selepas bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan langkah pengecualian cukai itu kepada syarikat berkenaan.

“Penting untuk mengetahui projek itu sendiri yang dikecualikan GST, bukannya syarikat kontraktor utama. Mereka masih perlu membayar GST untuk pembelian tiada kaitan ECRL,” kata jurucakap kanan kerajaan kepada FMT.

Beliau mendakwa Daim “memutar belit kebenaran” selepas mempertikaikan alasan kerajaan.

“Daim jelas membantu bos lamanya untuk berkempen,” kata pegawai itu merujuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana Daim pernah menjadi menteri kewangan di bawah kerajaan pimpinannya.

Katanya, projek ECRL dibiayai pinjaman mudah bernilai RM55 bilion dan 6% GST akan menyebabkan kos meningkat melebihi RM3 bilion.

“Kerajaan mahu mengecualikan projek itu daripada GST untuk mengelakkan kenaikan pinjaman daripada RM55 bilion kepada RM58.3 bilion serta perlu menanggung caj faedah tambahan.

“Apabila anda tambah GST 6%, kos akan meningkat kepada RM58.3 bilion, di mana GST sebanyak RM3.3 bilion akan dikenakan kepada kerajaan sebagai pelanggan terakhir, yang dikutip kontraktor utama untuk dibayar balik kepada kerajaan.”

Pegawai itu merujuk kenyataan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy pada Khamis lalu yang pelepasan sama turut diberikan kepada projek pembinaan berskala besar di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

Beliau berkata, Daim sebagai menteri kewangan sedar mengenai pelepasan sedemikian.

“Amat kesal beliau memilih untuk memutar belit kebenaran kerana beliau lebih tahu.”

Pemimpin pembangkang baru-baru ini mengkritik pelepasan yang diberikan kepada kontraktor ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) di bawah Akta GST 2014.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata, pengecualian itu akan memastikan kos pembinaan tidak akan melebihi anggaran RM55 bilion.

Tetapi, Daim ketika bercakap kepada wartawan selepas sebuah forum di Langkawi malam tadi berkata, alasan ECRL ialah projek kerajaan tidak boleh diterima.

“Rakyat tanya ‘Kenapa saya bayar GST? Saya bayar, tetapi kerajaan nampaknya tidak peduli’.

“Kerajaan hanya kata, ‘Oh, anda perlu bayar’. Tetapi, orang-orang ini ialah ahli perniagaan. Mereka akan mendapat wang juga, tetapi anda masih kecualikan GST untuk mereka,” kata Daim.

Bekas menteri Daim kritik Putrajaya kecuali GST untuk ECRL