Tian Chua akan tinggalkan PKR?

Tian Chua menafikan tahu mengenai krisis dalaman PKR.

PETALING JAYA: Spekulasi hangat mengatakan Naib Presiden PKR, Tian Chua akan meninggalkan parti itu susulan masalah yang dihadapinya dengan pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, beliau menafikan mengetahui krisis dalaman parti dan hanya berkata, beliau berkemungkinan besar tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu.

Beliau berkata, butiran lanjut akan diumumkan dalam sidang media sebentar lagi.

Menurut laporan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak 8 nama yang dicadangkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang.

The Star melaporkan 8 calon itu termasuk Tian Chua, Datuk Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Yaakob Sapari (Kota Anggerik), Hanizah Mohd Talha (Taman Medan) dan Gan Pei Nie (Rawang).

Turut dikatakan ditolak pencalonan ialah pembantu khas Azmin, Hilman Idham, yang sepatutnya diturunkan ke kerusi DUN Gombak Setia dan seorang lagi pembantu yang dipercayai Azmin, Khaled Jaafar, di kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14