13 DUN baru: Parti pembangkang akan rayu keputusan mahkamah

Yong Teck Lee (tengah, berkata mata) bercakap kepada pemberita selepas kes mahkamah. (gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Gabungan pembangkang Gabungan Sabah (GS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) akan merayu keputusan mahkamah membuang tindakan undang-undang mereka terhadap kerajaan berhubung isu DUN baharu di Sabah.

Datuk Seri Yong Teck Lee, presiden parti komponen GS, Parti Maju Sabah, dan 6 anggota gabungan itu mahu satu pengisytiharaan memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan laporan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang 13 kerusi DUN baru di Dewan Rakyat.

Presiden PCS Datuk Seri Wilfred Bumburing pula memohon injunksi menghalang pilihan raya Sabah kerana Najib didakwa gagal membentangkan laporan itu.

Hakim Azahari Kamal Ramli, yang mendengar kes itu secara bersama, membuang saman mereka dan berkata plaintif tiada “locus standi” dan isu itu sudah menjadi akademik oleh kerana Parlimen dibubarkan 7 April lalu.

Yong berkata GS akan merayu keputusan itu walaupun PRU semakin dekat.

“Peguam kami menunggu kehakiman bertulis dan asas keputusan itu,” kata Yong.

Bumburing tidak bersetuju tentang isu “locus standi”, menegaskan dirinya sebagai seorang warganegara yang mengundi berhak mendapatkan pengisytiharaan seperti itu.

“Oleh kerana 13 kerusi DUN baru sebahagian daripada perlembagaan negeri, saya sebagai seorang warganegara yang mengundi berhak mempertahankan kesucian perlembagaan,” katanya.

Beliau dimaklumkan peguam kehakiman bertulis mungkin mengambil masa sehingga seminggu untuk diperoleh, oleh itu tiada masa secukupnya untuk bertindak.

“Peguam beritahu kami hakim berkata kita boleh membuat rayuan kepada satu mahkamah pilihan raya khas selepas pilihan raya,” katanya.

Bumburing menambah: “Peguam beritahu kami kes ini sangat penting kerana ia menjadi duluan kepada seluruh dunia.

“Dalam persiapan mereka, peguam kami mencari kes-kes terdahulu seperti kami di negara-negara lain yang mengamalkan sistem persekutuan, tetapi tidak temui apa-apa. Kami berharap kita akan dapat hasilkan sesuatu daripada kes ini,” katanya.

Dalam samannya, Bumburing mahu mahkamah memerintahkan Dewan Undangan Negeri Sabah mengadakan sidang tergempar untuk memansuhkan enakmen yang menambah bilangan kerusi negeri daripada 60 kepada 73 yang diluluskan pada 2016.

Bumburing menamakan ketua menteri Sabah, kerajaan negeri, Dewan Undangan Negeri dan SPR sebagai defendan.

GS pula mahu mahkamah mengisytiharkan Najib wajib membentangkan laporan SPR sebelum PRU14. Mereka menamakan Najib dan SPR sebagai defendan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14