Idris Haron, Mas Ermieyati pertahan kerusi di Melaka

Datuk Seri Idris Haron akan pertahankan kerusi DUN Sungai Udang pada PRU14 nanti.

MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Idris Haron akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Idris ketika mengumumkan senarai calon BN Melaka pada majlis di Ayer Keroh hari ini turut mengumumkan Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Mas Emieyati Samsuddin juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam dicalon semula untuk Parlimen Hang Tuah Jaya, yang sebelum kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya adalah Parlimen Bukit Katil, dan pada PRU lepas beliau tewas dengan majoriti 5,447 undi di kawasan itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Abu Bakar Dr Abu Bakar Mohamad Diah bertukar kerusi daripada Parlimen Tangga Batu ke DUN Paya Rumput, manakala tempatnya akan digantikan Ketua Pemuda Umno Melaka Datuk Zali Mat Yasin.

Pengerusi MCA Melaka Lim Ban Hong pula akan mempertahankan DUN Klebang, manakala bekas Pengerusi MIC Melaka Datuk M S Mahadevan tidak disenarai dan tempatnya di DUN Gadek digantikan Setiausaha MIC Melaka Datuk P Panirchelvam.