Khaled tanding 2 kerusi, Puad Zarkashi tidak dicalonkan

Khaled Nordin itu juga mengumumkan Datuk Mohd Puad Zarkashi tidak dicalonkan untuk Parlimen Batu Pahat kali ini.

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan akan bertanding di 2 kerusi iaitu Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu juga mengumumkan Datuk Mohd Puad Zarkashi tidak dicalonkan di Parlimen Batu Pahat kali ini, digantikan muka baru, Ketua Wanita Umno Batu Pahat Haliza Abdullah.

Pemangku Ketua Umno Pagoh Ismail Mohamed pula akan bertanding di Parlimen Pagoh menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khaled juga mengumumkan penyandang Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad, penyandang Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan penyandang Parlimen Tebrau Datuk Khoo Soo Seang tidak bertanding kali ini.

Penyandang Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohammed Sadique akan mengambil tempat Ehsanuddin, manakala penyandang Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap diturunkan ke DUN Kemelah.

“Di peringkat Parlimen, Umno ada 16 calon dan di peringkat DUN kita wakili 35 kerusi. Untuk MCA, di peringkat Parlimen, 8 calon dan DUN, 15 calon.

“Bagi MIC, di peringkat Parlimen, 1 kerusi dan 4 kerusi DUN. Gerakan pula, di peringkat Parlimen, 1 kerusi dan DUN, 2 kerusi. Daripada 20 kerusi dimenangi BN, pada PRU13, 15 penyandang dikekalkan,” katanya ketika mengumumkan calon BN Johor.

Tambahnya, daripada 37 kerusi dimenangi BN pada PRU13, 19 penyandang kekal dan 13 Adun tidak dicalonkan semula.

Beliau berkata, daripada 82 calon Parlimen dan DUN di Johor, 9 calon Wanita, 2 calon Pemuda dan seorang terdiri Puteri.

“BN Johor menawarkan 37 calon baru kerusi Parlimen dan DUN di Johor yang bersamaan dengan 45.1%.

“Terdapat 5 muka baru di peringkat Parlimen dan 32 muka baru di peringkat DUN,” katanya.

Berikut senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Johor yang akan bertanding kerusi Parlimen 9 Mei ini:

1. Segamat – Datuk Dr S Subramaniam (MIC)

2. Sekijang – Datuk Ayub Rahmat (Umno)

3. Labis – Datuk Chua Tee Yong (MCA)

4. Pagoh – Ismail Mohamed (Umno)

5. Ledang – Datuk Hamim Samuri (Umno)

6. Bakri – Koh Chon Chai (MCA)

7. Muar – Datuk Razali Ibrahim (Umno)

8. Parit Sulong – Datuk Noraini Ahmad (Umno)

9. Ayer Hitam – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (MCA)

10. Sri Gading – Datuk Abdul Aziz Kaprawi (Umno)

11. Batu Pahat – Halizah Abdullah (Umno)

12. Simpang Renggam – Datuk Liang Teck Meng (Gerakan)

13. Kluang – Datuk Gan Peng Siew (MCA)

14. Sembrong – Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Umno)

15. Mersing – Datuk Latiff Ahmad (Umno)

16. Tenggara – Datuk Adham Baba (Umno)

17. Kota Tinggi – Datuk Halimah Sadique (Umno)

18. Pengerang – Datuk Seri Azalina Othman Said (Umno)

19. Pasir Gudang – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Umno)

20. Johor Bahru – Tan Sri Shahrir Samad (Umno)

21. Pulai – Datuk Nur Jazlan Mohamed (Umno)

22. Iskandar Puteri – Datuk Teoh Sew Hock (MCA)

23. Kulai – Tang Nai Soon (MCA)

24. Pontian – Datuk Ahmad Maslan (Umno)

25. Tanjong Piai – Datuk Wee Jeck Seng

26. Tebrau – Dato Dr Hou Kok Chung (MCA)

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14