MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya sudah 24% siap

Menurut MRT Corp, projek RM32 bilion itu diramal dapat disiapkan tepat mengikut garis masa ditetapkan sama seperti projek MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK).

KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencatat kemajuan memberangsangkan apabila kerja pembinaan bagi keseluruhan projek itu mengikut jadual dengan 24% sudah siap.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah, berkata tahap kemajuan laluan itu adalah petanda baik bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual ditetapkan.

“Secara keseluruhan, kemajuan projek sudah melepasi 24% dan kita berada beberapa minggu lebih awal dari jadual asal.

“Ini satu petanda baik bagi sebuah projek besar dan penting pada peringkat awal untuk kemajuan projek berada lebih awal daripada jadual kerana kita tidak tahu apa cabaran menanti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi operasi pemadaman kebakaran dan menyelamat di tapak pembinaan stesen MRT Bandar Malaysia, berhampiran Sungai Besi hari ini.

Menurutnya berdasarkan perkembangan kerja pembinaan semasa, diyakini projek dianggar bernilai RM32 bilion itu dapat disiapkan tepat mengikut garis masa ditetapkan sama seperti projek MRT bagi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Berhubung demonstrasi tahap keselamatan stesen MRT itu, Najmuddin berkata operasi kerja penyelamatan itu berjalan lancar dan memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap keupayaan pasukan kecemasan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT).

“Pasukan respons kecemasan projek MGKT menggabungkan 3 unit berasingan iaitu pasukan pemadam kebakaran, pasukan respons kecemasan di lokasi dan pasukan respons kecemasan trafik.

“Demonstrasi ini penting untuk menunjukkan tahap kesiapsiagaan kami bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan,” katanya.

MRT SSP dijangka siap pada Julai 2022 dan bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah sepanjang 52.2km.

MRT laluan SSP bakal menggunakan 12 Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) bagj kerja pembinaan berkenaan yang turut merangkumi pembinaan stesen yang antaranya berada sehingga 44m bawah tanah.