Penganalisis salahkan Saifuddin atas krisis dalaman PKR

Saifuddin didakwa mempunyai senarai calon yang berbeza dengan senarai Azmin.

PETALING JAYA: Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff menyalahkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail atas pergaduhan dalaman yang dilaporkan berlaku dalam parti tersebut.

“Beliau penyebab masalah,” katanya merujuk kepada laporan PKR membuang 8 nama daripada senarai calon bagi Selangor yang diserahkan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pensyarah di Universiti Utara Malaysia itu difahamkan Saifuddin mengambil senarai calonnya sendiri untuk diserahkan kepada pemimpin PKR yang dipenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk persetujuannya.

Katanya, senarai itu berbeza dengan yang dipersetujui parti sebelum ini, dan menuduh Saifuddin menyimpan agenda politik tersendiri.

Dilaporkan perbalahan mengenai calon ini pertelingkahan yang berterusan antara 2 kem dalam PKR, satu yang diketuai oleh Azmin dan satu lagi oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, yang bersama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kamarul berkata krisis dalaman itu akan menjejaskan kempen Pakatan Harapan (PH).

“Ia akan menjejaskan imej wakil-wakil yang bersatu untuk PH dan masa berharga akan dibazirkan untuk menyelesaikan krisis dalaman itu,” katanya.

“Kita harus tunggu dan lihat bagaimana keadaannya.”

Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail berkata perbalahan itu lebih teruk berbanding yang berlaku semasa Langkah Kajang 2014.

“Dilema PKR adalah tanpa PAS, ia fikir ia perlukan PPBM,” kata Tawfik.

Katanya, keadaan dalam PKR diburukkan lagi dengan kehadiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gabungan PH.

“Semuanya bermula dengan Kajang, termasuklah pergaduhan dengan PAS, tetapi kehadiran Dr Mahathir kemuncak permasalahan itu,” katanya.

Tambahnya, Barisan Nasional sudah pun mengambil kesempatan daripada krisis dalaman itu.

“Akhbar arus perdana melaporan berkenaan bantahan terhadap Dr Mahathir menggunakan lambang PKR,” katanya.

Langkah Kajang satu langkah politik bagi menggulingkan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim, dan menggantikan beliau dengan Anwar. Langkah itu gagal apabila kelayakan Anwar sebagai calon terbatal selepas dia disabit kesalahan liwat dan dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara.

Wan Azizah kemudian dipilih menjadi calon dan diangkat sebagai pengganti Khalid, yang enggan berganjak dan dipecat dari parti, mencetuskan krisis perlembagaan selama beberapa bulan. Krisis itu selesai apabila Sultan Selangor melantik Azmin untuk mengambil alih jawatan itu.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat dari Penang Institute bersetuju PH perlu mengurangkan perbalahan dalaman dan memberi ruang kepada pelbagai kumpulan dalam gabungan itu. Bagaimanapun, beliau berkata pertikaian kerusi sememangnya akan berlaku akibat ketidaksesuaian antara politik gabungan dan sistem pilihan raya “first-past-the-post”.

“Memandangkan parti yang bersekutu perlu berunding untuk membahagikan kawasan untuk ditandingi, pilihan calon perlu dipusatkan, dan tiada prosedur operasi standard (SOP) yang konsisten dan saksama untuk melaksanakan pemilihan sedemikian,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14