PPBM tampil muka baru tanding Parlimen, DUN Selangor

Pengerusi PPBM Selangor Abdul Rashid Asari (duduk, tengah) percaya calonnya lebih berkelayakan dari Noh Omar.

SHAH ALAM: PPBM hari ini mengumumkan semua muka baharu untuk bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 9 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Pengerusi PPBM Selangor Datuk Abdul Rashid Asari berkata, walaupun menampilkan semua muka baharu tetapi mereka yang dicalonkan adalah bekas pemimpin semasa dalam Umno.

Beliau turut menyatakan pihaknya sedaya upaya mendapatkan kerusi lebih untuk bertanding di DUN Selangor.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan telah putuskan 9 kerusi DUN dan 3 Parlimen. Kita akur keputusan dibuat Majlis Presiden,” katanya pada sidang media di Plaza Masalam.

Rashid mengumumkan Kalam Salan akan bertanding di Sabak Bernam, Mohd Ashyraf Basri di Sungai Besar dan Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi di Tanjung Karang.

Bagi kerusi DUN pula, Mohd Hamizar Sulaiman akan bertanding di Sungai Air Tawar, Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Azmil Misman (Sungai Burung), Mohd Najib Itak Othman (Jeram), Mejar (B) Datuk Abd Wahid Bidin (Kuang), Mohd Rais Zulkifli (Semenyih), Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Kelang), Roszani Roslan (Sijangkang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Mengulas mengenai Zulkafperi yang akan bertanding di Tanjung Karang melawan Tan Sri Noh Omar, Rashid yakin calon PPBM mampu mengalahkan pengerusi Barisan Nasional Selangor tersebut.

“Dengan ‘Tsunami Melayu’, besar kemungkinan kita boleh kalahkan Tan Sri Noh Omar walaupun kita tahu satu bahagian Tanjung Karang begitu kuat.

“InsyaAllah, calon kita doktor yang berpelajaran tinggi dan berkaliber. Kalau dibanding kelayakan, kita punya calon lebih baik dari Noh Omar,” katanya.

Dalam PRU13 lalu, Noh memperoleh 20,548 undi berbanding calon PAS, Mohd Rashdi Deraman dengan 16,154 undi dan Masrun Tamsi (Bebas) yang memperoleh 340 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14