Tawfik ‘melalut’, G25 pun buang beliau, kata Muhyiddin

PETALING JAYA: Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menepis komen bekas Ahli Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail yang mempertikaikan pengumuman senarai calon Johor baru-baru ini, selepas mendakwa hanya seorang “orang Mahathir” terpilih sebagai calon di negeri itu.

Muhyiddin menyifatkan Tawfik “melalut” kerana pemilihan calon dibuat jawatankuasa 4 anggota, yang dianggotai oleh beliau, Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz dan Setiausaha Agong Datuk Shahruddin Md Salleh.

“Sebenarnya tak ada langsung masalah. Tawfik tak faham kerana beliau bukan ahli PPBM. Saya dengar dulu beliau dalam kumpulan G25 tapi dibuang dari kumpulan itu,” katanya, merujuk kepada kumpulan bekas pegawai kerajaan.

“Soal menentukan calon bukan seorang yang buat. Tawfik tak faham kita ada jawatankuasa pemilihan. Empat orang ini duduk, teliti dan buat keputusan dan semua 100% calon yang dipilih dipengerusikan Dr Mahathir,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.

Semalam, Tawfik berkata tertanya-tanya jika wujud konflik antara Dr Mahathir dan Muhyiddin selepas mendapati anak saudaranya, Tariq Ismail, seorang penyokong kuat Dr Mahathir, tidak dicalonkan di Sri Gading, walaupun ramai menjangkakan dia akan dipilih untuk kerusi Parlimen itu.

Tawfik juga berkata “orang Muhyiddin” iaitu Datuk Osman Sapian dan Tosrin Jaravanti dicalonkan untuk DUN Kempas dan Bukit Permai walaupun mereka tidak begitu berpengaruh.

Tawfik berkata, satu-satunya “orang Mahathir” dalam senarai calon Johor ialah Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Abdul Rahman yang dicalonkan untuk kerusi Parlimen Muar.

“Tetapi Muar kerusi sukar” untuk dimenangi pembangkang, katanya sambil menambah pengaruh keluarga diraja Johor kuat di situ.

“Keseluruhan senarai calon itu tidak kuat dan nampaknya akan kalah.

Tawfik berkata Dr Mahathir nampaknya hilang sebahagian pengaruhnya dan mungkin memerlukan bantuan tempatan, contohnya dalam aspek pengurusan jentera parti di Johor.

 

Adakah Dr M, Muhyiddin berdepan konflik, soal Tawfik