Abang Johari yakin BN menang majoriti kerusi di Sarawak

Abang Johari berkata daripada 31 calon BN, 15 adalah muka baru.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin barisan calon yang dinamakan hari ini untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mampu menepati sasaran Barisan Nasional (BN) untuk menang majoriti kerusi Parlimen di Sarawak.

Beliau berkata daripada 31 kerusi Parlimen itu, 14 kerusi akan ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), 7 oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), 6 kerusi oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan 4 lagi oleh Parti Progresif Demokratik (PDP).

Abang Johari berkata daripada 31 calon BN, 15 adalah muka baru yang mana PBB dan SUPP masing-masing memperkenalkan 6 muka baru, PRS (2) dan PDP (1) manakala 16 calon merupakan penyandang.

“Seramai 25 calon adalah lelaki dan 6 wanita. Kita yakin BN boleh memenangi 29 kerusi pada PRU kali ini,” katanya ketika mengumumkan calon BN Sarawak untuk PRU14 hari ini.

Abang Johari yang juga pengerusi BN Sarawak turut mengucapkan terima kasih kepada SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) kerana sanggup menggunakan platform untuk menghadapi PRU kali ini.

Katanya, kesemua 31 calon BN itu juga ditapis dan disahkan bebas daripada sebarang bentuk jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).