Arul Kanda hentam pengkritik senyap selepas Equanimity dilepaskan

Arul Kanda mengkritik suara anti kerajaan selepas kapal layar Equanimity dilepas. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Pengkritik kerajaan dan ahli politik pembangkang dikecam kerana tidak meminta maaf atas “kenyataan berniat jahat” yang dibuat berkenaan sitaan kapal layar mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho, oleh Indonesia yang kemudian dilepaskan.

Kapal layar itu didakwa dibeli oleh Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dengan dana yang diambil daripada syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB.

Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, dalam satu temu bual dengan akhbar Singapura, Straits Times, berkata, banyak komen dibuat terhadap 1MDB dan kerajaan apabila sitaan Equanimity disita mula dilaporkan.

Seorang hakim kemudian memutuskan pemilik itu tidak disabit dengan sebarang jenayah dan polis salah untuk menyita kapal layar itu dengan kerjasaman Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat.

“Tetapi kamu nampakkah sebarang permohonan maaf daripada (Tan Sri) Rafidah Aziz atas kenyataannya?” soal Arul.

“Kamu nampakkah sebarang permohonan maaf daripada (Tan Sri) Rais Yatim, atau ahli politik pembangkang yang mengkritik isu ini? Saya tidak rasa ada.”

bekas menteri Rafidah Aziz dan Rais Yatim,yang menurut Arul “ada udang di balik batu”, mengkritik kerajaan dan beberapa menteri lain yang mengatakan kerajaan tidak terlibat dalam hal berkaitan Equanimity.

Arul berkata 1MDB terpaksa mengambil langkah proaktif dan berkongsi maklumat betul dengan orang ramai untuk membetulkan “komunikasi mengelirukan” daripada pembangkang.

Bagaimanapun, beliau menambah, beliau bukan mahu mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan atau Low.

“Tanggungjawab saya sebagai ketua pegawai eksekutif adalah untuk mengajukan dan menjelaskan sudut pandangan syarikat. Akhirnya, ia bergantung kepada orang ramai untuk membuat keputusan masing-masing atas hal itu.”

Bulan lepas, Rafidah menyoal mengapa kerajaan tidak mampu mengesan kapal layar itu, yang dilaporkan berlayar di perairan Asia Tenggara. Beliau juga memuat naik gambar-gambar bagi menunjukkan beliau sendiri boleh mengesan kapal layar itu.

Sementara itu, Rais mengkritik menteri kerajaan kerana mengatakan kerajaan tidak terlibat dalam hal-hal berkaitan Equanimity.

Kapal layar itu antara aset yang dikaitkan dengan Low yang mahu disita Jabatan Kehakiman AS (DoJ). Aset lain termasuklah jet peribadi, sebuah hotel dan hartanah di New York.

Dalam tuntutan sivilnya, DoJ berkata lebih kurang AS$4.5 bilion dicuri daripada 1MDB menerusi penipuan dan pengubahan wang haram, dengan AS$1.7 bilion dalam bentuk aset didakwa dibeli menggunakan dana dicuri itu.

 

Sita kapal dikaitkan Jho Low tak sah, kata mahkamah Indonesia