Bekas ahli Parlimen pertahan hak kritik PPBM

Bekas ahli Parlimen Sungai Benut itu berkata, semua calon dan parti harus membenarkan pengundi mengkritik mereka.

PETALING JAYA: Bekas ahli Parlimen, Tawfik Ismail mempertahankan dirinya daripada serangan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan berkata sebagai pengundi, beliau berhak mengulas perkembangan politik negara.

“Sebagai pengundi di Johor, saya berhak mempersoalkan calon yang akan bertanding dan semua calon serta parti perlu membenarkan diri mereka diteliti,” kata Tawfik kepada FMT.

Semalam, susulan kritikan Tawfik berhubung senarai calon PPBM di Johor, Muhyiddin berkata, bekas ahli Parlimen Sungai Benut itu “melalut” dan tidak memahami hal ehwal di Johor.

Beliau turut membangkitkan isu Tawfik dibuang daripada G25, kumpulan bekas penjawat awam Melayu yang menentang politik dicampur aduk dengan agama.

Bagaimanapun, Tawfik membalas dengan berkata G25 bukan organisasi rasmi seperti yang ingin dicapai PPBM.

Pada 2015, G25 berjauhan dengan Tawfik selepas beliau mendakwa Muhyiddin mahu mendapatkan sokongan kumpulan itu untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tawfik memberitahu FMT, beliau menasihatkan Muhyiddin agar tidak menentang Najib.

“Semasa saya menemui beliau dan ahli G25 lain, saya lantang memberi amaran kepadanya.

“Saya memberitahu beliau, melainkan beliau lebih bersih daripada Najib, ia mungkin terkena di batang hidung sendiri. Saya mencadangkan perjuangan untuk perubahan diberikan kepada calon lebih muda, lebih idealistik dan bersih.

“Adakah semua calonnya di Johor bebas daripada skandal?” saolnya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

 

Tawfik ‘melalut’, G25 pun buang beliau, kata Muhyiddin

Adakah Dr M, Muhyiddin berdepan konflik, soal Tawfik