Bersih: Hanya 4 hari bekerja untuk undi pos?

Shahrul Aman mempertikaikan tempoh yang diberikan untuk menghantar dan menerima undi pos.

 

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menjelaskan bagaimana kertas undi akan dikirim kepada pengundi pos di luar negara dan berapa hari diberi kepada mereka untuk mengirim semula kertas undi masing-masing.

Minggu lepas, Pengerusi Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata undi pos akan dikirim kepada pengundi selepas penamaan calon pada 28 April ditutup dan mesti diterima pada 5.00 petang 9 Mei.

Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih 2.0 bagaimanapun berkata jadual itu bermakna hanya 4 hari bekerja diberikan untuk menghantar dan menerima kertas undi.

Pemangku Pengerusi Shahrul Aman Mohd Saari berkata SPR harus menyediakan maklumat terperinci bagaimana kertas undian akan dikirim memandangkan tempoh berkempen yang terlalu singkat.

“Di taklimat SPR, peserta diberitahu SPR hanya akan mengirim kertas undi pada 2 Mei, kerana 1 Mei ialah cuti umum (Hari Pekerja). Hanya 4 hari bekerja untuk menghantar dan menerima kertas undi.”

Hari bekerja adalah 3-4 Mei dan 7-8 Mei. Undi pos mesti sampai ke pusat pengundian pada 5.00 petang 9 Mei, yang diisytiharkan cuti umum.

“Jadi anda harapkan kotak undi pergi ke seluruh dunia dan kembali tepat pada masanya?”

Beliau juga mempersoalkan ketiadaan maklumat penting, seperti bagaimana kertas undi akan dihantar ke luar negara. “Adakah dengan perkhidmatan kurier atau Pos Laju? Kami tak tahu.”

Beliau berkata pengundi yang lewat menerima kertas undi mereka harus membuat laporan, “itu sahaja yang paling mampu mereka lakukan.”

Pengundian awal, sebahagian besarnya melibatkan kakitangan tentera dan polis, akan berlangsung pada 5 Mei.

Hashim berkata terdapat seramai 300,000 pengundi pos, sebahagian besarnya rakyat Malaysia di luar negara, antara 14.9 juta pengundi yang layak mengundi.