Haliza terkejut dipilih, Puad Zarkashi diketepi

Ketua Wanita Umno Batu Pahat, Haliza Abdullah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Batu Pahat, Haliza Abdullah terkejut apabila namanya dicalonkan untuk pilihan raya akan datang dan bukan ketua bahagiannya, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Ketua Wanita Umno Batu Pahat itu mendedahkan namanya bukan pilihan utama untuk kerusi itu jadi tidak menjangka namanya akan diumumkan.

Beliau menafikan pihaknya melobi untuk dicalonkan atau mengambil peluang Puad.

“Saya sebenarnya terkejut sebab tahu hanya bila ketika diumumkan semalam. Saya di sini memang bukan pilihan. Jika ada calon alternatif, nama saya bukan pilihan utama.”

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan pengguguran Puad semalam. Ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu pernah bertanding di Batu Pahat pada 2013 tetapi tewas.

Haliza berkata dia mengikuti Puad sejak dipilih menjadi ketua Wanita bahagian pada 2004, dan namanya tidak begitu dikenali pucuk pimpinan parti.

Puad pernah menjadi senator dan timbalan menteri pendidikan.

“Saya tidak pernah caras ketua bahagian saya. Saya sangat berprofil rendah. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pun tidak kenal saya. Yang kenal saya, kalau orang besar pun, cuma Khaled dan Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil,” katanya.

Tunggu keadaan reda

Haliza sekarang menunggu masa yang sesuai untuk bertemu Puad kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Beliau akui sokongan Puad selaku ketua bahagian perlu untuk membantu kempennya.

“Tidak ada perjumpaan sejak semalam. Bagi masa dulu saya dan dia. Sebab jumpa sekarang pun faham-fahamlah,” katanya.

“Saya berharap dia bantu saya. Saya letakkan harapan besar, ketua bahagian saya bersama untuk kita dapatkan balik kerusi Parlimen ini.”

Batu Pahat sekarang disandang PKR, Datuk Mohd Idris Jausi, yang menewaskan Puad pada PRU13 dengan majoriti 1,732 undi. Pada 2008, Puad menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan kelebihan 12,704 undi.

Spekulasi Puad akan meletak jawatan dan bertanding sebagai calon bebas selepas digugurkan Barisan Nasional akan terjawab Khamis ini.

“Saya tidak akan ulas sekarang. Tunggu Khamis ini. Saya nak buat pengumuman secara rasmi. Belum putuskan untuk buat sidang media di mana, sama ada di Batu Pahat atau Kuala Lumpur. Esok saya akan maklumkan,” katanya kepada FMT.

Khabar angin tersebar sejak Ahad lalu mendakwa beliau akan melepaskan jawatan di Jasa dan bertanding sebagai calon bebas.