Lebih banyak krisis PKR selepas Surendran digugurkan

Surendran antara pemimpin kanan PKR yang pencalonannya terbabit dalam kemelut antara puak Azmin dan Rafizi.

PETALING JAYA: Tindakan PKR tidak mencalonkan Naib Presidennya, N Surendran mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya pada 2013, mencetuskan spekulasi wujud percanggahan pendapat antara 2 puak dalam parti itu.

Hujung minggu lalu, timbul spekulasi Tian Chua mungkin tidak dicalonkan di Batu dengan cakap-cakap beliau ditawarkan kerusi di Johor dan mungkin ada pemindahan besar di kalangan pemimpin kanan parti itu.

Sumber berkata, Surendran yang dilihat menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, sudah dimaklumkan keputusan parti itu sebelum senarai calon diumumkan, tetapi beliau enggan mengulas.

Surendran antara pemimpin kanan PKR yang pencalonannya terbabit dalam kemelut antara 2 puak, satu diketuai Azmin dan satu lagi oleh Naib Presidennya, Rafizi Ramli yang memihak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi memenangi kerusi Parlimen Pandan pada 2013, tetapi bulan lalu, beliau mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 disebabkan kes mahkamahnya yang belum selesai.

Surendran yang dibesarkan di Kedah, mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Heng Seai Kie dan 3 calon bebas di kerusi Parlimen Padang Serai dengan kelebihan 8,400 undi.

Peguam PKR itu terkenal memperjuangkan isu hak asasi manusia, termasuk mengambil kes penderaan oleh polis dan kematian tahanan.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14