Najib guna pantun sindir Dr M, puji Pak Lah setia

Najib berkata, pantun itu ditujukan khas kepada Pak Lah yang pada awalnya dijangkakan menghadiri majlis perasmian Institut Kanser Negara di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menerusi serangkap pantun menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi beliau memuji Tun Abdullah Ahmad Badawi tetap setia menyokong kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) selepas tidak memegang jawatan dalam kerajaan.

Perdana menteri berbuat demikian sebelum mengakhiri ucapannya di majlis perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.

“Sungguhpun di Selangor jumpa baldi, kes denggi tertinggi di Darul Ehsan tetap kita perangi, biarlah pemimpin itu bawa hati ke Pulau Langkawi, namun yang penting Pak Lah tetap setia kekal di sisi,” sindirnya.

Beliau berkata, pantun itu ditujukan khas kepada Abdullah yang turut dikenali sebagai Pak Lah, yang pada awalnya dijangka akan menghadiri majlis hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, IKN yang merupakan cetusan idea Pak Lah, ditubuhkan untuk memajukan industri kesihatan dan memberi kesedaran awal tentang langkah pencegahan serta amalan gaya hidup sihat.

“Kita mesti beri penghargaan kepada Pak Lah dan kejayaan IKN ini mengikut maklumat bermula 550 pesakit pada 2013 dan meningkat kepada 10,864 orang pada 2014. Kemudian meningkat lagi kepada 37,452 pesakit.

“Ini merupakan kenaikan mendadak…kita akan teruskan usaha untuk memajukan lagi bidang kesihatan negara.”

Najib berkata, peruntukan bagi bidang kesihatan meningkat kepada RM27 bilion tahun ini berbanding hampir 26 bilion tahun lalu.

Katanya, ia selaras janji dalam manifesto BN yang amalan gaya hidup sihat adalah perkara pertama daripada 14 teras yang perlu diberikan perhatian.

Beliau turut menasihatkan rakyat memfokuskan cara pemakanan sihat sebagai langkah awal mencegah penyakit seperti obesiti.

“Kita ini memerlukan amalan pemakanan yang baik, senaman secara kerap, tidur yang cukup, kita pakejkan supaya rakyat bertambah sihat dari semasa ke semasa.

“Selain itu, kita juga perlu mengurangkan ‘hypertension’ yang banyak berlaku dalam masyarakat Malaysia, ini semua adalah mesej yang patut diterapkan kepada semua rakyat.”