Polis temui motosikal suspek tembak pensyarah Palestin

KPN Fuzi Harun berkata polis turut memperoleh beberapa petunjuk terbaharu berhubung kes itu.

SHAH ALAM: Polis hari ini mengesahkan penemuan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek dalam kes bunuh Dr Fadi Mohammed Al Batash, berhampiran Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, petang tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata motosikal itu ditemui dalam keadaan baik dan siasatan sedang dijalankan ke atas motosikal berkenaan.

“Ya, polis memang ada temui motosikal itu yang disyaki digunakan suspek ketika melakukan pembunuhan itu.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan butirannya berikutan ia masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Peringkat Kontinjen Selangor hari ini.

Difahamkan, motosikal yang ditinggalkan berhampiran tasik itu ditemui oleh orang awam yang kemudian melaporkannya kepada polis kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Mengulas lanjut, Fuzi berkata selain motosikal, polis turut memperoleh beberapa petunjuk terbaharu berhubung kes itu berikutan ada beberapa individu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

“Ada individu beri maklumat tetapi kita tidak boleh dedahkan dan saya juga tidak dapat sahkan sama ada suspek masih ada dalam negara atau tidak sebab kita tiada butiran lengkap mengenai identiti suspek kecuali lakaran fotofit yang telah kita edarkan kepada pihak berkaitan untuk bantu kita mengesan mereka,” katanya.

Sabtu lepas, Fadi, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah institusi pengajian tinggi swasta ditembak mati di luar kondominium Idaman Puteri di Setapak, semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimami solat Subuh, kira-kira pukul 6 pagi.

Dua lelaki bermotosikal dikatakan menunggu mangsa kira-kira 20 minit sebelum melepaskan 10 das tembakan ke arah mangsa berusia 35 tahun itu.

Sementara itu, Fuzi berkata polis akan memberi tumpuan kawalan keselamatan kepada Selangor dalam PRU14 berikutan negeri ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Selain itu saiz negeri Selangor juga agak besar berbanding negeri lain dan kita tidak fokus pada satu-satu kawasan sahaja sebab bagi saya semua kawasan penting.

“Polis akan menjalankan tugas secara profesional tanpa memihak pada mana-mana parti dan kita berharap orang ramai juga boleh beri kerjasama yang baik kepada polis sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya.

Tembak pensyarah: Duta Palestin yakin siasatan polis Malaysia