Puad Zarkashi jawab spekulasi letak jawatan Khamis ini

Puad Zarkashi belum menentukan masa dan lokasi untuk sidang media khas yang akan diadakan Khamis ini.

PETALING JAYA: Spekulasi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Mohd Puad Zarkashi akan meletak jawatan dan bertanding sebagai calon bebas selepas digugurkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14, akan terjawab Khamis ini.

Katanya, beliau akan mengadakan sidang media khas, tetapi lokasi dan masa belum ditentukan.

“Saya tidak akan ulas sekarang. Tunggu Khamis ini. Saya nak buat pengumuman secara rasmi.

“Belum putuskan untuk buat sidang media di mana, sama ada di Batu Pahat atau Kuala Lumpur. Esok saya akan maklumkan,” katanya kepada FMT hari ini.

Khabar angin tersebar sejak Ahad lalu mendakwa ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu akan melepaskan jawatan di Jasa dan bertanding sebagai calon bebas selepas tidak dicalonkan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Semalam, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah akan menggantikan Puad di kerusi Parlimen Batu Pahat.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keputusan tidak meletakkan Puad sebagai calon BN di Batu Pahat pada PRU14 dibuat berdasarkan hasil penilaian landskap politik negara, termasuk di kerusi Parlimen itu.

Katanya, Puad perlu menerima hakikat kawasan itu dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN, oleh itu mereka menurunkan calon lain dengan harapan dapat merampas kerusi itu daripada PKR.

Calon PKR, Datuk Mohd Idris Jausi menewaskan Puad di Batu Pahat pada PRU13 dengan majoriti 1,732 undi.

Pada 2008, Puad menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan kelebihan 12,704 undi.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Khaled tanding 2 kerusi, Puad Zarkashi tidak dicalonkan