Rafidah: Tiada sebab mohon maaf tentang Equanimity

Rafidah Aziz yang memaklumkan beliau dapat mengesan Equanimity, sebelum ini mempersoalkan pihak berkuasa Malaysia kenapa tidak merampas kapal layar mewah itu.

PETALING JAYA: Bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau tiada sebab untuk memohon maaf atas kenyataannya baru-baru ini berhubung kedudukan kapal layar mewah, Equanimity seperti yang dicadangkan Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

“Cerita itu nampaknya baru didedahkan. Minta maaf untuk apa? Kerana menyatakan fakta?” soalnya dalam satu mesej teks kepada FMT hari ini.

Arul Kanda dalam satu temu bual dengan akhbar Singapura, Straits Times, berkata ahli politik pembangkang dan pengkritik kerajaan seperti Rafidah perlu memohon maaf atas “kenyataan berniat jahat” mengenai sitaan Equanimity oleh polis Indonesia dalam kerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Seorang hakim kemudiannya mengarahkan kapal layar mewah itu dilepaskan kerana pemiliknya tidak disabit sebarang jenayah dan tindakan polis salah dalam menyita Equanimity.

Pegawai AS mendakwa kapal layar mewah itu dibeli Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Rafidah berkata, komennya mengenai kenapa pihak berkuasa Malaysia tidak mengesan dan merampas kapal layar mewah itu, khasnya apabila ada laporan ia memasuki perairan Malaysia.

Bagaimanapun, menteri sudah menyatakan tiada kes terhadap Equanimity di Malaysia.

Rafidah dalam responsnya kepada Arul Kanda berkata: “Henti mengarut. Orang Indonesia boleh melakukannya. Arul patut cuba menjelaskan isu 1MDB dengan jujur kepada rakyat, yang tidak boleh menerima apa sahaja yang beliau mengarut setakat ini. Saya percaya banyak permohonan maaf perlu dibuat kepada rakyat.”

Kapal layar mewah itu antara aset yang dikaitkan dengan Jho Low yang hendak disita pihak berkuasa AS. Aset lain termasuk sebuah jet peribadi, sebuah hotel dan hartanah di New York, yang didakwa dibeli dengan kira-kira AS$4.5 bilion yang dicuri daripada 1MDB melalui penipuan dan pengubahan wang.

Arul Kanda hentam pengkritik senyap selepas Equanimity dilepaskan