SPR: Hanya boleh guna gambar presiden, timbalan presiden parti

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan parti bertanding hanya boleh menggunakan wajah presiden, timbalan presiden atau setaraf dengannya pada gambar pemimpin utama dalam bahan kempen sepanjang pilihan raya.

Suruhanjaya menambah penggunaan gambar pemimpin utama berdasarkan lambang parti politik yang didaftarkan calon semasa hari penamaan.

“Jawatan selain daripada presiden dan timbalan presiden (atau setaraf) parti adalah tidak dibenarkan,” kata Pengerusi Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan malam tadi.

“Gabungan gambar pemimpin utama parti politik di atas satu bahan kempen yang sama hanya dihadkan kepada presiden, timbalan presiden, pengerusi negeri (atau setaraf), menteri besar/ketua menteri dan calon.”

Beliau menjelaskan “penyelarasan” semula dasar sedia ada bagi memastikan kempen berlangsung secara aman, lancar serta “tidak mengelirukan pengundi”.

Pada pilihan raya akan datang parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan akan bertanding menggunakan lambang PKR kerana pendaftaran satu gabungan rasmi dan logo bersama belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Gabungan itu menggandingkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan. Wan Azizah adalah presiden PKR dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.