Tembak pensyarah: Duta Palestin yakin siasatan polis Malaysia

Duta Palestin Dr Anwar H Al Agha berkata pihaknya telah bertemu dengan ketua polis KL berhubung kes pembunuhan tersebut. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Palestin berkeyakinan penuh Malaysia akan menyiasat secara menyeluruh kejadian menembak mati pensyarah rakyat Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batash yang dikaitkan dengan elemen asing.

Duta Besar Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H Al Agha berkata polis Malaysia sangat profesional dan beliau menyerahkan kepada mereka untuk menyiasat kes itu.

“Pihak berkuasa Malaysia sangat profesional. Kami mempunyai keyakinan yang penuh terhadap mereka dan kami bersedia memberikan komitmen kami sepenuhnya. Kami telah bertemu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dan pegawai-pegawai lain. Mereka begitu prihatin mengenai siasatan itu,” katanya kepada selepas menjadi tetamu program pagi Bernama Radio hari ini.

Fadi, 35, seorang pensyarah kejuruteraan elektrik di sebuah institusi swasta, ditembak mati ketika berjalan dari rumahnya ke Surau Medan Idaman untuk memimpin solat Subuh pada Sabtu, di Setapak.

Dr Anwar berkata pegawai kedutaan terus menghubungi polis dan pihak berkuasa Malaysia yang lain bagi membantu siasatan.

Semalam, polis Malaysia mengedarkan lakaran wajah 2 suspek yang disyaki menembak mati Fadi.

 

Kes pensyarah Palestin: Polis nafi lewat tiba selepas 43 panggilan

Keluarga dakwa pensyarah Palestin dibunuh ejen Mossad