Umat Islam Perancis kecam gesaan buang ayat Al-Quran kerana ‘anti-Yahudi’

Umat Islam di Perancis berkata mereka dihukum secara tidak adil atas insiden serangan ke atas penduduk beragama Yahudi. (Gambar AFP)

PARIS: Satu manifesto di Perancis yang menyeru perenggan tertentu dalam Al-Quran dibuang atas dasar meningkatnya fahaman anti-Yahudi mencetuskan kemarahan umat Islam di sini, yang mengatakan agama mereka “dibicarakan” secara tidak adil.

Surat terbuka itu diterbitkan pada Ahad dalam akhbar tempatan, antara lain menyalahkan “radikalisasi Islamis” atas apa yang dikatakan sebagai “penyingkiran etnik secara senyap” di Paris dengan memaksa keluarga Yahudi untuk berpindah.

Pemimpin Islam yang dihubungi AFP memperakui fahaman anti-Yahudi sudah menjadi satu masalah di Perancis.

Tetapi mereka menuduh 300 penandatangan surat itu, termasuklah bekas presiden Nicolas Sarkozy dan bekas perdana menteri Manuel Valls, menyalahkan seluruh agama Islam atas perbuatan golongan ekstremis yang kecil.

“Satu-satunya perkara yang kami boleh setuju adalah kita harus bersatu menentang fahaman anti-semitik,” kata Ahmet Ogras, ketua Majlis Perancis, kumpulan bawah naungan Muslim Faith.

Dalil Boubakeur, rektor Masjid Paris, berkata, manifesto itu “membicarakan secara tidak adil dan tidak masuk akal rakyat Perancis beragama Islam dan Islam di Perancis”.

“Ia mewujudkan risiko melaga-lagakan komuniti agama terhadap sesama sendiri dengan ketara,” katanya dalam satu kenyataan.

Manifesto itu mendesak beberapa dikeluarkan ayat Al-Quran yang menyeru “pembunuhan dan penghukuman orang Yahudi, Kristian dan yang tidak percayakan Tuhan”, atas dasar ayat-ayat tersebut sudah “lapuk”.

Tareq Oubrou, imam masjid di bandar Bordeaux yang terletak di selatan negara itu, mengatakan Islam bukan satu-satunya agama yang mana kitab sucinya mengandungi perenggan-perenggan yang ketinggalan zaman.

“Apa saja teks suci bersifat keganasan, dan Gospel tidak ketinggalan,” kata Oubrou sambil menambah, penandatangan-penandatangan tersebut yang juga termasuk selebriti seperti pelakon, Gerard Depardieu, sudah salah mentafsir al-Quran.

Penulis, Pascal Bruckner, antara penandatangan surat tersebut, memberitahu radio France Inter, surat itu bukan diniatkan untuk “meletakkan stigma tetapi untuk mencetuskan sikap muhibah orang Islam reformis”.

Surat itu berkata, sejak 2006, “11 orang Yahudi dibunuh dan sesetengahnya diseksa oleh Islamis radikal hanya kerana mereka orang Yahudi”.

Serangan terbaru menggemparkan Perancis bulan lepas apabila 2 pesalah menikam wanita Yahudi berusia 85 tahun sebanyak 11 kali sebelum membakar badannya, dalam jenayah yang dianggap kejadian “anti-semitik”.

Secara rasmi, jumlah jenayah anti-Yahudi menurun sebanyak 7% di Perancis pada 2017 buat tahun ke-3, menurut kementerian dalam negerinya.

Tetapi orang Yahudi menjadi sasaran dalam lebih kurang 1/3 jenayah kebencian yang dicatat di Perancis walaupun mereka hanya lebih kurang 0.7% daripada seluruh penduduk.

Komuniti Yahudi seramai setengah juta itu adalah yang terbesar di Eropah tetapi mengalami gelombang penghijrahan ke Israel sejak 2 dekad lalu, yang sebahagiannya kerana fahaman anti-semitik di negara-negara imigran jiran.