7 calon DAP, PKR bertanding hadapi pertuduhan jenayah

Lim Guan Eng antara calon pembangkang yang bertanding walaupun hadapi pertuduhan jenayah.

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 7 calon DAP dan PKR bertanding kerusi DUN dan Parlimen walaupun menghadapi pertuduhan jenayah.

Sama ada perbicaraan mereka belum bermula atau rayuan terhadap pensabitan dan hukuman menunggu perbicaraan di mahkamah lebih tinggi.

Menurut Perlembagaan Persekutuan dan negeri, keahlian wakil rakyat akan dibatalkan hanya jika hukuman penjara 1 tahun atau denda RM2,000 dikenakan dan belum mendapat pengampunan.

Peguam SN Nair berkata hilang kelayakan itu hanya akan berkuat kuasa selepas rayuan terakhir dan permohonan belas kasihan ditolak.

“Selepas itu dewan perundangan akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya tentang kekosongan kerusi supaya pilihan raya kecil boleh diadakan,” katanya.

Mendahului senarai itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan keuntungan dengan menukar status tanah pertanian kepada perumahan. Dia juga berdepan tuduhan membeli sebuah banglo bawah nilai pasaran.

Beliau berdepan pemenjaraan sehingga 20 tahun dan denda sehingga 5 kali jumlah atau nilai sogokan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, bagi pertuduhan pertama.

Setiausaha agung DAP itu, yang bertanding kerusi DUN dan Parlimen di Pulau Pinang, juga berdepan pemenjaraan sehingga 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah dalam pertuduhan kedua.

Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Mei untuk menyambung semula pembicaraan.

Jannie Lasimbang, calon DAP untuk DUN Kapayan di Sabah, akan tahu esok sama ada dia boleh bertanding atau tidak.

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan ke atas rayuan pihak pendakwaraya terhadap pembebasan Jannie daripada 2 pertuduhan bawah Akta Perhimpunan Aman (APA).

Pertuduhan bawah Seksyen 9(5) itu boleh dihukum dengan denda sehingga RM10,000. Jannie adalah penganjur tunjuk perasaan Bersih 4 di Sabah yang diadakan dari 29 hingga 30 Ogos 2015.

Ahli jawatankuasa PKR Johor Steven Choong Shiau Yoon, yang akan bertanding di Parlimen Tebrau, disabitkan kerana mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan “Bebaskan Adam Adli” berhampiran stesen minyak di Johor Bahru pada 21 Mei 2013. Pihak pendakwaan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap denda RM1,500 yang dikenakan Mahkamah Tinggi.

Naib presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin pula didakwa kerana menunjuk perasaan di rumah ibadat, satu kesalahan bawah APA. Perbicaraan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur sedang berjalan.

Shamsul akan bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya dan DUN Machap Jaya di Melaka.

Seorang lagi naib presiden PKR Tian Chua didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 2016 kerana membuat kenyataan berunsur hasutan di satu forum pada 2013.

Tian Chua, yang akan mempertahankan Parlimen Batu dikenakan hukuman 3 bulan penjara dan denda RM1,800. Kerajaan sudah memfailkan rayuan untuk meningkatkan hukuman itu.

Adun Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR juga didakwa dengan hasutan pada 2011 selepas didakwa menghina Sultan Selangor, tetapiperbicaraan belum bermula kerana permohonan dibuat untuk membatalkan pendakwaan itu.

Shuhaimi, yang merupakan setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, dijangka bertanding DUN Sungai Kandis.

Mereka yang disabit kesalahan bawah Akta Hasutan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Ketua Biro Undang-undang PKR R Sivarasa pula didakwa dengan 2 tuduhan memuatnaik muka depan Time Magazine yang diubahsuai di akaun Facebook yang memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan perkataan “No. 2 dalam senarai paling korup”.

Kesalahan itu boleh dihukum bawah Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya.

Perbicaran di Mahkamah Sesyen ditetapkan pada 26 Jun.

Sivarasa akan bertanding di Parlimen Sungai Buloh, sebelum ini dikenali sebagai Subang.

Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing, bersama-sama 5 yang lain, dibebaskan dariada tuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di satu tunjuk perasan pada 2015.

Tan dari PKR dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu tetapi belum jelas sama ada kerajaan akan merayu.

Kesalahan bawah Seksyen 186 Kanun keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.