Allah ada, pesara beritahu isteri sebelum berjalan 300km ke Putrajaya

Nasri Mat Jusoh bersalaman dengan isterinya, Hamimah Khadim, sebelum memulakan misi berjalan kaki 300km dari Kuantan ke Putrajaya, semalam.

KUANTAN: Pesara tentera, Nasri Mat Jusoh meminta isterinya tidak bimbang sebelum memulakan misi berjalan kaki sejauh 300km dari Kuantan ke Putrajaya.

“Jangan takut, Allah ada,” katanya kepada Hamimah Khadim.

Hamimah yang juga peniaga buah di gerai dekat rumah mereka mengakui beliau masih bimbang, walaupun selepas Nasri menenangkannya dengan kata-kata itu.

Katanya, beliau pada mulanya menentang cadangan suaminya berjalan kaki ke Putrajaya, tetapi selepas melihat keazamannya, beliau memutuskan untuk menyerahkan segalanya kepada Allah.

“Mula-mula saya tidak sokong, sebab dia hanya seorang. Walau apapun, dia suami saya. Saya takut apa-apa berlaku di jalan.

“Tapi kerana dia berlatih hari-hari dengan bersemangat, dia cakap jangan takut, Allah ada,” katanya kepada FMT.

Dengan berbekalkan satu bendera PKR dan sebuah beg bekalan, Nasri memulakan perjalanannya dari perhentian teksi di sebuah restoran bernama Nasi Ayam Aida di Kuantan pada 8.30 pagi semalam.

Beliau berbuat demikian untuk membantah kenaikan kos sara hidup.

Hamimah berkata, suaminya memberitahu rancangannya itu pada pagi 15 April lalu.

“Pada Ahad 2 minggu lepas, saya duduk bersamanya di rumah, tiba-tiba dia cakap dia mahu jalan. Jalan ke mana? Ke Putrajaya,” kata Hamimah.

“Dengan siapa, saya tanya, dia kata dia mahu jalan seorang. Untuk apa, dia mahu kibarkan bendera PKR,” kata Hamimah lagi sambil menambah, Nasri sebelum ini bukanlah penyokong Pakatan Harapan, tetapi penyokong PAS.

“Sekarang dia rasa kecewa sangat dengan pentadbiran sekarang ini, dia mahu bangkit semula dengan Pakatan Harapan.”

Nasri akan berjalan kaki kira-kira 74km sehari dan dijangka tiba di Putrajaya dalam 4 hari.
Hamimah yang masih bimbang dengan suaminya berharap boleh menemui beliau di Putrajaya.

Hamimah yang masih bimbang dengan suaminya berharap dapat menemuinya di Putrajaya.

“Sekarang pun saya serabut, sejak semalam dia pergi, dia pergi sampai malam sehingga saya tidak tidak makan kerana fikirkan keselamatannya.

“Saya rasa mahu tunggu di sana tetapi saya tidak pandai memandu. Saya tidak tahu siapa untuk saya minta tolong.”