Amanah pilih Raja Bahrin pertahan Kuala Terengganu

Raja Bahrin turut dicalonkan di DUN Batu Burok dan akan berdepan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

PETALING JAYA: Amanah mencalonkan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenanginya pada 2013.

Beliau yang juga pengerusi Amanah dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu akan berdepan Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok.

Pengumuman itu menamatkan spekulasi Adun Batu Burok, Syed Azman Syed Nawawi yang dikatakan akan meninggalkan PAS untuk bersama Amanah dan mempertahankan kerusi DUN itu yang dimenanginya sejak 2008.

Ketika ditanya keputusan Amanah tidak mencalonkan Syed Azman, Raja Bahrin berkata, bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat itu belum bersedia bertanding mewakili parti itu pada 9 Mei nanti.

“Syed Azman belum bersedia bertanding lagi,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan Syed Azman akan membantu calon PH di Terengganu.

Raja Kamarul berkata, Amanah juga tidak mencalonkan Miqdad Zakaria, anak saudara Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang, sebaliknya parti itu memilih Zarawi Sulong untuk menentang presiden PAS.

Katanya, parti itu turut mencalonkan Abdullah Muhamad di Parlimen Kuala Nerus.

Beliau berkata, Amanah akan bertanding di 3 kerusi Parlimen dan 11 DUN pada pilihan raya umum ke-14 dalam misi merampas Terengganu daripada tangan Barisan Nasional.

“Amanah Terengganu mengemukakan gandingan seimbang yang mewakili golongan daripada pemuda, agamawan, akademik dan profesional bagi menghadapi PRU14.

“Daripada 11 calon DUN, hampir 30% terdiri daripada golongan Pemuda yang diketuai Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda. Calon golongan muda lain terdiri daripada jurutera profesional yang memahami aspirasi generasi muda hari ini.”

Berikut senarai penuh calon Amanah yang bertanding di Terengganu:

Kerusi Parlimen

  • Kuala Terengganu: Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah
  • Marang: Zarawi Sulong
  • Kuala Nerus: Abdullah Muhamad

Kerusi DUN

  • Jertih: Datuk Kamarulzaman Wan Su
  • Jabi: Abd Aziz Abas
  • Teluk Pasu: Azik Chik
  • Batu Burok: Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah
  • Wakaf Mempelam: Zubir Mohamed
  • Manir: Hafizuddin Hussin
  • Rhu Redang: Zarawi Sulong
  • Bukit Payong: Mohd Dalizan Abd Aziz
  • Sura: Zulkifli Ali
  • Paka: Mohd Hasbie Muda
  • Kemasek: Rizan Ali

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14