Cederakan isteri guna pisau, lelaki dipenjara 4 tahun

Hakim Azwarnida Affandi jatuhkan hukuman itu ke atas K Vejeyen selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kesnya. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipenjara 4 tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana mencekik leher, menumbuk, menendang dan cuba menikam perut isterinya dengan pisau sehingga cedera parah, hujung tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu ke atas K Vejeyen, 36, penjaga stor selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan semula kesnya dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.

Tertuduh didakwa sengaja mendatangkan cedera ke atas D Jayasutha, 38, seorang operator kilang, dengan cara melukakan hidungnya dengan sebilah pisau iaitu senjata yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian di sebuah rumah di Blok A, Persiaran Surian, Pelangi Damansara, Jalan PJU 6A/3A, Damansara, pada 8.30 malam, 8 Disember 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Mengikut fakta kes, lelaki itu ke rumah isterinya dan memecahkan pagar depan lalu masuk ke rumah dengan membawa sebilah pisau dan berlaku pertengkaran antara pasangan tersebut.

Tertuduh mencekik leher isterinya, menumbuk hidung sehingga retak tulang, menendang dada dan cuba menikam perut mangsa namun mangsa bernasib baik kerana dapat mengelak daripada ditikam.

Mangsa menjerit dan jeritan itu didengari jiran-jiran yang kemudian datang menahan tertuduh.

Ketika kejadian, pasangan itu yang sudah berkahwin 9 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki dan perempuan telah tinggal berasingan.

Vejeyen yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia perlu menyara keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon hukuman pemenjaraan yang tinggi mengambil kira tertuduh sengaja memecah masuk ke rumah mangsa dan mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Katanya tertuduh hanya berhenti melakukan perbuatan itu selepas jiran mangsa mendengar jeritan dan menahan tertuduh daripada terus mencederakan.