Dr M gesa kerajaan kurang jurang kekayaan, henti jual aset Bumiputera

Dr Mahathir berkata, walaupun gaji bertambah, kuasa membeli Bumiputera berkurangan disebabkan nilai ringgit yang lemah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan berusaha mengurangkan jurang kekayaan dan taraf hidup antara kaum, khasnya golongan Bumiputera yang pendapatan mereka tidak meningkat sejajar pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam “Policy Talk” mingguan yang disiarkan secara langsung berkata, walaupun gaji bertambah, kuasa membeli Bumiputera berkurangan disebabkan nilai ringgit yang lemah.

“Kalau pendapatan meningkat, tetapi daya beli jatuh, maka ini tidak beri taraf kehidupan yang lebih baik kepada kita.

“Sebab itu kerajaan atau mana-mana kerajaan harus tentukan nilai mata wang kita tidak merosot dan daya beli meningkat bersama dengan pendapatan kita,” katanya.

Beliau berkata, jurang kekayaan yang semakin besar menyebabkan ramai orang Melayu miskin terpaksa menjual tanah mereka dan berpindah jauh dari bandar sehingga berlaku pengasingan kaum.

Oleh itu, katanya, kerajaan perlu mengurangkan jurang kekayaan antara kaum supaya semua orang boleh tinggal bersama, tidak kira di bandar atau luar bandar.

“Ekonomi bertumbuh kalau pendapatan rakyat meningkat, daya beli meningkat, dengan itu semua dapat keuntungan, peniaga dapat keuntungan, kerajaan dapat pungut lebih cukai untuk kepentingan rakyat.

“Inilah cara kita menguruskan negara. Kita perlu tentukan aset-aset, harta-harta Bumiputera tidak dipisah daripada mereka kerana kemiskinan supaya kerajaan bertanggungjawab kurangkan penjualan aset Bumiputera.”

Dr Mahathir turut membangkitkan kepentingan pendidikan kepada rakyat dan biasiswa untuk membolehkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

Bagaimanapun katanya, kadar pengangguran di kalangan graduan yang mempunyai ijazah akan meningkat, jika tiada peluang pekerjaan.

“Kami dengar keluaran dalam negara kasar (KDNK) tumbuh pada satu kadar yang tinggi, tetapi peningkatan ini tidak dirasai golongan pendapatan rendah.”

Dr Mahathir juga berjanji akan berusaha meningkatkan ekonomi negara seperti dalam manifesto PH, jika gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Tidak perlu tunggu sehingga 2050, hanya lebih sikit dari 2020,” katanya.